PUTRAJAYA, 16 APRIL 2025 — Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius insiden yang melibatkan akhbar harian bahasa Cina, Sin Chew Daily, yang telah menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap pada muka hadapan keluaran bertarikh 15 April 2025. Gambar yang memaparkan bendera Malaysia tanpa simbol bulan sabit itu telah mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat dan mendapat perhatian segera pihak berkuasa.
Siasatan Di Bawah Dua Akta KDN, Bukan Di Bawah MCMC
Untuk mengelakkan kekeliruan, KDN menjelaskan bahawa siasatan kes ini dijalankan di bawah bidang kuasa dua akta utama di bawah KDN sendiri, iaitu:
- Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], dan
- Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]
Kedua-dua akta ini memperuntukkan kawalan ketat ke atas penggunaan lambang-lambang kebangsaan serta kandungan cetakan dan penerbitan. Ini bermakna, tindakan ke atas kes ini bukan berada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tetapi sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.
Simbol Islam dan Kepentingan Integrasi Nasional
Ketiadaan bulan sabit dalam bendera yang diterbitkan bukan sahaja satu kecuaian teknikal, tetapi mencerminkan kelalian serius terhadap lambang yang membawa makna penting, khususnya simbol bulan sabit yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan. Kesalahan seperti ini, jika tidak ditangani, berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.
Tindakan Tegas Akan Diambil
KDN turut memaklumkan bahawa pihak Sin Chew Daily telah dipanggil ke kementerian pada hari ini bagi memberikan penjelasan, dan Surat Tunjuk Sebab telah diserahkan. Proses siasatan sedang dijalankan dan sebarang keputusan mengenai tindakan lanjut akan dibuat selepas siasatan dilengkapkan.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman awam, KDN menegaskan bahawa ia tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketidakharmonian, sama ada secara cuai mahupun disengajakan.
Hormati Lambang Negara, Elak Main Api Sensitiviti
KDN menyeru semua pihak, terutamanya penerbitan media, agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan ketepatan maklumat dan visual yang diterbitkan. Kesalahan seperti ini bukan sekadar teknikal, ia menyentuh asas perpaduan nasional dan simbol negara yang wajib dipelihara oleh semua, tanpa mengira bangsa atau fahaman.
Jalur Gemilang bukan milik mana-mana kaum atau kelompok, ia milik setiap rakyat Malaysia. Maka menjadi tanggungjawab bersama untuk mempertahankan martabatnya, dengan penuh hormat dan integriti.