AYER KUNING, 11 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil dengan tindakan tegas dan pantas selepas teguran Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, berhubung masalah liputan internet dan rangkaian telekomunikasi yang tidak memuaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Susulan aduan mengenai 27 lokasi bermasalah di kawasan tersebut, MCMC segera menggerakkan penyedia perkhidmatan utama termasuk CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL untuk mengemukakan pelan tindakan yang ditambah baik. Beberapa kawasan strategik telah dikenalpasti sebagai keutamaan termasuk pusat penamaan calon, pusat mengundi, pusat media dan pusat maklumat komuniti (NADI).
Langkah-langkah intervensi segera yang diambil melibatkan pengoptimuman menara pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara serta pelaksanaan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan. Objektifnya jelas, memastikan kelancaran komunikasi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) dan memenuhi hak asas rakyat terhadap akses internet yang berkualiti.
Bagi memudahkan urusan aduan rakyat, MCMC turut membuka Kaunter Aduan khas di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang dari 12 hingga 26 April, dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 9 malam. Kaunter ini menerima aduan bukan sahaja berkaitan telekomunikasi, malah juga pos dan isu-isu lain dalam bidang kuasa MCMC.
MCMC turut memberi amaran bahawa sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan oleh penyedia perkhidmatan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang sedia ada. Pemantauan prestasi liputan akan dijalankan secara harian.
Tindakan segera ini bukan sekadar respons kepada PRK Ayer Kuning, tetapi isyarat jelas bahawa hak rakyat untuk menikmati perkhidmatan digital berkualiti adalah satu keutamaan yang tidak boleh dikompromi.