Written by 8:11 am Semasa

Belasungkawa Buat Tun Abdullah Ahmad Badawi: Pemimpin Yang Meninggalkan Jejak Dalam Hidup Saya

Saya menerima berita pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri kelima Malaysia, dengan rasa yang amat menyentuh hati. Walaupun saya tidak mengenali beliau secara peribadi, tetapi saya membesar dan melalui fasa penting dalam hidup – zaman belajar dan mula bekerja – semasa beliau menjadi pemimpin negara. Justeru, kehilangan ini terasa begitu dekat dan peribadi.

Saya tidak pernah lupa waktu pertama kali melihat beliau secara langsung di MAHA, ketika itu saya masih seorang pelajar. Acara itu penuh sederhana, berlatar belakangkan khemah kenduri kahwin. Dua tahun selepas beliau menjadi Perdana Menteri, wajah MAHA berubah menjadi megah – penuh paviliun moden, inovasi pertanian, teknologi makanan dan wajah baharu sektor agromakanan Malaysia.

Pak Lah tidak datang dengan gimik atau gaya yang keras. Sebaliknya, beliau memimpin dengan tenang, lembut, dan penuh budi. Beliau dikenang ramai sebagai pemimpin yang membawa pendekatan “Islam Hadhari” – satu naratif yang mengangkat keharmonian, kemajuan dan nilai dalam sebuah acuan Malaysia yang rencam. Di bawah kepimpinan beliau, kita menyaksikan usaha pembaharuan institusi kehakiman, penekanan terhadap ketelusan, dan pemerkasaan tadbir urus negara.

Pak Lah membuka ruang media. Suara rakyat diberikan tempat. Wacana menjadi lebih segar dan luas. Pentadbiran beliau memperkenalkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang menekankan pembangunan insan dan pembelaan kawasan pedalaman. Salah satu usaha paling dikenang ialah penekanan beliau terhadap sektor pertanian – dengan slogan “Pertanian Adalah Perniagaan”. Ia membawa lonjakan minat anak muda terhadap sektor ini, dan menggerakkan agensi kerajaan memberi sokongan penuh kepada petani dan usahawan tani.

Tapi jasa beliau yang paling saya rasa kesannya secara langsung adalah kepada penjawat awam.

Saya masih ingat tahun 2007. Saya baru sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Waktu itu saya hanyalah seorang penjawat awam muda yang masih bertatih. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, Pak Lah menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35%, dan elaun COLA dinaikkan sebanyak 100%.

Kenaikan itu bukan sekadar angka. Ia memberi saya nafas untuk berdiri sendiri – membeli kereta pertama dan yang paling membanggakan, mampu menghantar wang bulanan kepada mak ayah di kampung. Itu adalah detik kecil yang besar maknanya buat saya. Detik yang tidak akan saya lupakan, dan saya simpan sebagai salah satu titik penting dalam hidup saya – yang terjadi hasil dasar seorang pemimpin bernama Abdullah Ahmad Badawi.

Pak Lah juga dikenang sebagai orang yang mengangkat martabat guru-guru agama di sekolah melalui pelantikan guru J-QAF. Banyak yang mungkin sudah lupa, tetapi waktu itu – kelas-kelas agama Islam kembali mendapat tempat yang kukuh dan sistematik dalam jadual sekolah.

Itulah Pak Lah. Beliau bukan pemimpin yang melawan dengan suara tinggi atau strategi licik. Beliau memimpin dengan kasih, dengan akhlak, dengan sabar yang luar biasa. Bahkan ketika diasak dan disalah faham, beliau tidak pernah membalas dengan nista. Beliau memilih untuk damai, meskipun beliau mampu untuk membalas.

Hari ini, Malaysia kehilangan seorang negarawan yang membumi. Pemimpin yang meletakkan keadaban lebih tinggi daripada kuasa. Pemimpin yang memahami makna memimpin dengan jiwa.

Terima kasih, Pak Lah. Terima kasih atas tenangmu. Terima kasih atas jasamu. Terima kasih kerana menjadi contoh bahawa memimpin itu bukan untuk menakluk, tetapi untuk menyantuni.

Semoga roh Allahyarham dikurniakan husnul khotimah, dilapangkan kuburnya, diampunkan segala dosanya, dan ditempatkan bersama para solihin.

Selamat beristirahat, Pak Lah.

Kami takkan lupa. Malaysia terhutang budi padamu.

Close