KUALA LUMPUR, 10 April – Dalam satu pengiktirafan terbuka dan penuh makna, Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas tindakan segera mereka dalam menyelesaikan isu capaian Internet di Kolej Profesional MARA (KPM) Air Molek, Melaka.
Menurut Asyraf, keluhan para pelajar yang sebelum ini merungut seolah-olah “masuk gua” apabila berada di kampus tersebut, telah ditangani dengan luar biasa pantas oleh pihak MCMC – apabila sebuah menara komunikasi baharu berjaya didirikan hanya dalam tempoh kurang sebulan setengah.
“Saya sendiri tanya pelajar-pelajar dan wakil pelajar KPM Air Molek hari ini. Mereka kata capaiannya terbaik dan mereka dapat belajar dengan sempurna,” katanya dalam ucapannya di Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dan MCMC di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Kuala Lumpur.
Tambah beliau, kerjasama strategik antara MCMC dan MARA ini membuka peluang besar untuk meningkatkan capaian Internet di lebih 344 institusi pendidikan MARA di seluruh negara — sekaligus menjadikan sambungan Internet berkualiti sebagai hak pendidikan, bukan lagi satu kemewahan.
MoU ini turut menyasarkan penambahbaikan liputan mudah alih, pembangunan infrastruktur gentian optik, serta kempen keselamatan siber di kalangan pelajar MARA.
Majlis menandatangani MoU ini disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; dan Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi.
Aksi pantas MCMC dan sokongan padu Kementerian Komunikasi ini menjadi contoh jelas bahawa apabila suara rakyat didengar dengan empati, solusi boleh hadir dengan penuh efisiensi.