KUALA LUMPUR, 10 April — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd, untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang penyerahan konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur kepada LSH Service Master Sdn Bhd, anak syarikat kepada LSH Capital Berhad.
Keputusan yang dibacakan oleh Hakim Roz Mawar Rozain ini sekali gus menutup cubaan MKLSB dan Hydroshoppe untuk mengekalkan penguasaan ke atas operasi mercu tanda utama negara itu, walaupun konsesi telah dianugerahkan melalui proses tender terbuka.
Menurut mahkamah, tidak terdapat asas kukuh untuk memberikan injunksi. Malah, fakta bahawa Kementerian Komunikasi telah melaksanakan permintaan cadangan (Request for Proposal – RFP) pada Mac 2024 menegaskan bahawa peluang telah diberi kepada semua pihak untuk bersaing secara adil bagi mendapatkan konsesi baharu.
Apa yang menarik, hujah plaintif bahawa LSH Service Master “tidak cukup kepakaran” untuk mengurus Menara KL juga ditolak. Hakim menegaskan bahawa kekurangan pengalaman bukanlah asas sah untuk mahkamah menghalang konsesi, lebih-lebih lagi apabila proses perolehan dibuat secara sah dan telus.
Permohonan injunksi ini turut disertai saman terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, serta syarikat-syarikat di bawah LSH Capital. Namun, mahkamah secara terang memihak kepada prinsip tadbir urus yang berasaskan proses terbuka, bukan berdasarkan kelayakan yang didakwa oleh pihak yang tidak terpilih.
MKLSB dan Hydroshoppe bukan dinafikan hak, tetapi gagal dalam proses persaingan yang sah. Mahkamah telah menegaskan bahawa merit dan ketelusan proses adalah keutamaan dalam penganugerahan konsesi seperti ini.
Menara KL kekal sebagai milik kerajaan. Yang berubah hanyalah pengurusannya – dan itu adalah hasil daripada sistem terbuka, bukan keputusan senyap-senyap.