1 April lalu menyaksikan senyuman kembali terukir di wajah ramai wanita di seluruh negara – dari ibu muda hingga warga emas – apabila bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 dikreditkan ke akaun mereka. Di sebalik deretan resit belian dan troli yang penuh dengan barangan asas, tersimpan kisah kelegaan dan rasa syukur yang tidak terhingga.
Sebagai seorang wanita, saya faham benar betapa setiap ringgit itu berharga – lebih-lebih lagi dalam musim perayaan di mana keperluan rumah tangga bertambah. Bantuan SARA ini bukan sekadar angka, tetapi nafas lega buat ramai di luar sana.
“Lepas beli keperluan asas serta barangan lain. Syukur alhamdulillah,” tulis Hanna Hananie dalam satu kumpulan Facebook. Kata-katanya ringkas, tetapi cukup menggambarkan betapa bantuan ini benar-benar membantu.
Di Sabah, Clara Pius berkongsi kegembiraannya selepas menggunakan bantuan tersebut di sebuah pasar raya. “Baru guna Bantuan SARA di Bataras ITCC. Baki kita bawa bulan depan lah bikin beli pampers & susu anak,” tulisnya di Facebook sambil menggalakkan pengguna lain memanfaatkan label Barangan Asas Rahmah dan aplikasi MyKasih.
Bagi golongan ibu, bantuan ini ibarat sokongan moral dan kewangan yang sangat diperlukan. Dalam suasana harga barang yang semakin meningkat, kemampuan untuk membeli beras, minyak, susu anak atau lampin pakai buang tanpa perlu terlalu berkira-kira, adalah sesuatu yang sangat dihargai.
Turut berkongsi pengalaman ialah pempengaruh warga emas, @kakcikyah4, yang dikenali ramai dengan video masakan ringkasnya. Dalam satu rakaman, beliau menunjukkan barangan yang dibeli seperti beras dan kicap. “Sebagai warga emas, bantuan ini sangat membantu. Dapat beli barang dapur untuk seminggu dua,” katanya sambil tersenyum.
Apa yang menjadikan SARA lebih istimewa tahun ini ialah peningkatan jumlah bantuan – dari RM1,200 tahun lalu kepada RM2,100 setahun, satu peningkatan sebanyak 75%. Bantuan ini dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima dan boleh digunakan di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
SARA merupakan sumbangan tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar mengikut sistem eKasih. Penambahbaikan pelaksanaannya pada 2024 memastikan bantuan ini lebih mudah diakses dan menepati keperluan asas rakyat.
Sebagai seorang wanita yang juga ibu, saya melihat SARA bukan sekadar bantuan kewangan – ia adalah tanda keprihatinan dan sokongan moral. Ia mungkin kecil pada sesetengah orang, tetapi besar maknanya buat mereka yang sedang bergelut setiap hari untuk menyediakan keperluan asas keluarga.
Dan bagi kami, para wanita – yang saban hari mengira setiap sen demi kelangsungan rumah tangga – bantuan ini bukan sekadar duit. Ia adalah sinar harapan. Terima kasih, SARA. Terima kasih, Kerajaan Malaysia.