SHAH ALAM, 30 Mac — Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Selangor yang dijadualkan berlangsung esok dibatalkan susulan insiden tragik yang berlaku di Putra Heights baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan di media sosial, memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor dan persetujuan YAB Perdana Menteri.
Menurutnya, semua persiapan termasuk makanan yang telah disediakan akan disalurkan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah anak-anak yatim, sekolah berasrama dan juga petugas keselamatan.
“Keputusan ini diambil kira bagi menghormati mangsa dan keluarga yang terlibat dengan insiden di Putra Heights,” katanya.
Beliau turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul susulan pembatalan majlis, sambil merakamkan penghargaan kepada semua pasukan petugas dan pelaksana majlis yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan.
“Saya sangat menghargai persefahaman semua pihak demi maslahah yang lebih utama. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita juga dalam bersolidariti membantu mangsa dan semua pihak jua,” tambah beliau.
Insiden yang berlaku di Putra Heights telah mencetuskan suasana duka di seluruh negara, dan pembatalan ini dilihat sebagai satu langkah penuh empati oleh Kerajaan Negeri Selangor.