Written by 11:10 pm Semasa

Menjawab Shafiq Halim : Dari Kementerian ke Keyboard Warrior – Bila Fakta Diputar, Emosi Dijual

Dalam dunia pasca-kebenaran, di mana naratif sering mengatasi fakta, muncul semula watak lama yang kini beraksi bukan lagi di koridor kementerian, tetapi di medan maya – menunggang nostalgia dan keghairahan retorik untuk mencipta sensasi baharu. Nama watak itu: Shafiq Halim.

Bekas pegawai kerajaan ini memilih untuk muncul kembali dengan satu video dan hantaran yang pantas tular. Kononnya demi “perjuangan Bumiputera”, dia mendakwa Menara Kuala Lumpur telah tergadai kepada syarikat bukan Bumiputera. Dia petik dasar Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN), dia bawa naratif penggadaian aset negara, dia tabur syak wasangka terhadap penjawat awam – semua dalam satu rakaman dan hantaran yang jelas bukan lagi bersandar pada fakta, tetapi pada emosi yang diperah semahu-mahunya.

Menara KL Masih Milik Kerajaan Malaysia

Mari kita tegakkan semula asasnya: Menara Kuala Lumpur masih milik kerajaan Malaysia. Titik. Yang berubah hanya operator pengurusan – syarikat yang uruskan pelancong, jual tiket, jaga lif dan anjurkan program. Tiada penjualan aset. Tiada pemindahan hak milik. Dakwaan “tergadai” itu bukan sahaja tidak benar, malah berniat mengelirukan.

Perbandingannya mudah: bila kantin sekolah tukar operator, adakah itu bermakna sekolah bertukar tangan? Sudah tentu tidak. Tapi logik semudah ini nampaknya sengaja dinafikan demi menegakkan propaganda murahan.

ESN: Fakta yang Dipilih-Pilih

Shafiq juga cuba memanipulasi dasar Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) kononnya pelantikan operator baru melanggar prinsip ESN. Sedangkan ESN hanya terpakai apabila ada penjualan saham syarikat milik agensi amanah Bumiputera – bukan dalam urusan lantikan operator fasiliti awam melalui tender terbuka. Tapi dalam dunia retorik, siapa peduli beza antara pelantikan dan penjualan?

Ini bukan lagi kekeliruan – ini keputusan sedar untuk mengheret rakyat dalam kekalutan yang dicipta.

Aset SP2 dan Takut-Takut Murahan

Ya, Menara KL memang mempunyai antenna dan komponen strategik. Tapi semua itu – seperti sistem komunikasi keselamatan negara – kekal di bawah kawalan agensi keselamatan. Operator hanya pegang fungsi komersial dan pelancongan. RMPNet tidak duduk bawah operator. Tapi dalam skrip Shafiq, semuanya nampak seperti thriller politik – penuh konspirasi, padahal realitinya langsung tak sekompleks itu.

Penjawat Awam Bukan Sasaran Suka Hati

Yang paling menjijikkan ialah apabila penjawat awam disamakan dengan pelacur hanya kerana mereka “jalankan tugas”. Ini bukan kritik. Ini penghinaan. Ini lidah yang sudah mabuk dengan rasa kecewa dan dendam.

Siapa yang sebenarnya hilang integriti apabila hilang kuasa? Bila dulu dalam sistem, tidak pula bersuara sebegini lantang. Tapi bila di luar pagar, terus menyalak tanpa peduli fakta. Ini bukan soal perjuangan. Ini soal ego yang tercalar.

Nostalgia Bukan Lesen Sebar Fitnah

Shafiq mungkin pernah berkhidmat. Dan untuk itu, kita ucapkan terima kasih. Tapi nostalgia jabatan lama bukan tiket menyebarkan fitnah baharu. Rakyat hari ini tidak selemah dulu. Mereka membaca, menyemak, dan menilai – bukan sekadar mengikut emosi.

Kerajaan juga tidak maksum. Teguran itu perlu. Tapi biarlah ia berdasarkan fakta, bukan fantasi.

Bukan Lagi Soal Menara – Tapi Soal Maruah Perbincangan Awam

Artikel ini bukan semata-mata tentang Menara KL. Ia tentang bagaimana fakta dimanipulasi, dasar diputar, dan emosi dijual demi agenda peribadi. Dan apabila penjawat awam dijadikan kambing hitam, bila dasar dimomok sebagai pengkhianatan dan bila “bekas” digunakan untuk memberi autoriti kepada kebencian – kita wajib bersuara.

Kerana kebenaran tidak perlukan kad pegawai lama. Ia hanya perlukan keberanian untuk berkata: cukup-cukuplah.

Close