PUTRAJAYA, 31 Mac 2025 – Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur kekal sebagai aset milik kerajaan, dan perubahan yang berlaku hanyalah dalam aspek pengurusan serta operasi, yang dibuat mengikut prosedur tender terbuka (RFP).
Proses peralihan konsesi ini telah melalui penilaian Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, sebelum diperkukuhkan dengan keputusan Jemaah Menteri. Pembida yang berjaya diumumkan secara rasmi oleh kerajaan pada 29 Mei 2024.
Dalam perkembangan terkini, Kementerian Komunikasi mengambil maklum bahawa Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) telah memfailkan writ saman dan permohonan injunksi bagi mencabar pelantikan syarikat konsesi baharu. Sehubungan itu, kementerian memberi jaminan bahawa setiap tindakan akan dibuat selaras dengan proses perundangan yang sedang berjalan.
Semua pihak diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang boleh menjejaskan perjalanan proses mahkamah. Kementerian Komunikasi menegaskan komitmennya terhadap prinsip tadbir urus yang baik dan memastikan isu ini ditangani dengan telus serta berlandaskan undang-undang.