KUALA LUMPUR, 27 Mac 2025 – Kerajaan hari ini mengumumkan penyelesaian terhadap isu penempatan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman yang terletak di sebahagian kecil tanah milik swasta berhampiran Jalan Masjid India. Penyelesaian ini dicapai hasil rundingan dengan pihak kuil dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan prinsip kebebasan beragama terus dihormati.
Menurut kenyataan rasmi, kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu yang terletak berhampiran tapak asal bagi tujuan penempatan semula kuil tersebut. Tapak seluas 4,000 kaki persegi itu merupakan sebahagian daripada Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur dan bersaiz setara dengan kuil sedia ada.
“Pembangunan tapak baharu ini akan tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuat kuasa, dan pihak kuil telah bersetuju dengan penyelesaian ini,” menurut kenyataan tersebut.
Kerajaan juga memberi jaminan bahawa tiada sebarang perobohan akan dilakukan ke atas kuil sedia ada. Kuil tersebut akan terus dibenarkan beroperasi seperti biasa sehingga proses penempatan semula selesai sepenuhnya dalam suasana harmoni.
Dalam pada itu, kerajaan menegaskan bahawa penyelesaian ini adalah khusus bagi kes ini sahaja dan tidak boleh dijadikan kes rujukan (precedent case) bagi rumah ibadat lain. Setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah, serta peraturan yang berkuat kuasa.
Selain itu, kerajaan juga mengingatkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi peraturan sedia ada bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan.
“Kerajaan menyeru semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat agar tidak memanipulasikan isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan. Polemik ini harus dihentikan segera,” jelas kenyataan itu.
Kerajaan menegaskan bahawa hak dan kepercayaan semua penganut agama sentiasa dihormati, sambil memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama demi keharmonian negara.