Written by 11:55 am Semasa

Insentif Rebat RAHMAH untuk Anggota PDRM Sempena Hari Polis Ke-218

PUTRAJAYA, 25 Mac 2025 – Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan pemberian Insentif Rebat RAHMAH kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Polis Ke-218. Insentif ini diberikan secara one-off dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi, melibatkan anggota beruniform dan kakitangan awam yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.

Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi, anggota PDRM yang melanggan pelan pascabayar (postpaid) akan menerima rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan. Rebat ini akan diberikan sama ada pada bulan April, Mei atau Jun, bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima.

Bagi anggota yang menggunakan pelan prabayar (prepaid), mereka akan menerima tambah nilai minimum RM30 secara one-off, dengan kaedah pemberian rebat berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan.

Insentif ini mendapat sokongan daripada lapan syarikat telekomunikasi utama, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com. Secara keseluruhannya, lebih 127,000 anggota PDRM dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Kementerian Komunikasi menjelaskan bahawa insentif ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap komitmen dan pengorbanan anggota PDRM dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan rakyat.

Maklumat lanjut mengenai Insentif Rebat RAHMAH ini akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing, manakala senarai soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Komunikasi di pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.

Close