KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi mengambil langkah proaktif dalam menangani isu ketagihan media sosial, khususnya dalam kalangan generasi muda, bagi memastikan kesejahteraan mental, sosial dan fizikal rakyat tidak terjejas.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching,, penggunaan platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook membawa banyak manfaat dalam aspek komunikasi, perkongsian maklumat dan peluang ekonomi. Namun, penggunaan berlebihan boleh mendatangkan kesan negatif kepada keseimbangan kehidupan masyarakat.
Bagi menangani isu ini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan pelbagai program kesedaran dan pendidikan, termasuk:
1. Latihan Kemahiran Ibu Bapa dan Pendidik
MCMC menjalankan program Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) yang memberi pendedahan kepada ibu bapa, penjaga dan guru mengenai perlindungan kanak-kanak dalam talian. Mereka dilatih untuk membimbing generasi muda supaya lebih cakna terhadap keselamatan digital serta dapat mengimbangi penggunaan media sosial dalam kehidupan seharian.
2. Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian
Dilancarkan pada 21 Januari 2025, kempen ini menyasarkan semua lapisan masyarakat melalui ceramah, latihan, kolaborasi dengan pempengaruh media sosial serta sesi training of trainers dalam kalangan pemimpin pelajar. Modul khas yang dibangunkan oleh MCMC turut digunakan bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan penggunaan internet secara bertanggungjawab.
3. Kerjasama dengan TikTok dan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS)
MCMC turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti TikTok serta PSSS di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Melalui unit bergerak PSSS yang terlibat dalam jelajah kempen, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling psikososial diberikan kepada masyarakat, termasuk sesi kelegaan segera bagi mereka yang mengalami isu kesihatan mental akibat ketagihan media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi menegaskan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh usaha ini dengan melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan untuk memastikan keseimbangan antara manfaat teknologi dan kesihatan mental rakyat dapat dicapai.