Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan bahawa Maestra Broadcast Sdn Bhd, pemegang lesen stesen radio Era FM, telah mengemukakan rayuan berhubung notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan pada 7 Mac 2025.
Selepas meneliti hujah-hujah rayuan dan mempertimbangkan tindakan susulan oleh syarikat tersebut, MCMC memutuskan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast. Antara faktor yang diambil kira termasuk:
- Tindakan pembetulan yang telah dilakukan oleh pemegang lesen
- Permohonan maaf rasmi daripada pihak terbabit
- Kesan kepada stesen radio lain di bawah lesen yang sama, iaitu Melody FM dan Mix FM
Namun, meskipun lesen tidak digantung, Astro tetap dikenakan denda RM250,000.
Kenapa Astro yang Didenda, Bukan DJ Individu?
Ramai yang bertanya, kenapa bukan DJ yang dikenakan denda tetapi syarikat penyiaran? Jawapannya mudah – pemegang lesen bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua kandungan yang disiarkan.
Maestra Broadcast Sdn Bhd adalah syarikat yang mengendalikan Era FM, Melody FM dan Mix FM, dan mereka memegang lesen penyiaran di bawah Astro Radio. Oleh itu, sebarang pelanggaran kandungan yang berlaku dalam siaran radio mereka adalah di bawah tanggungjawab pemegang lesen, bukan individu DJ semata-mata.
Dalam konteks ini:
- Era FM adalah saluran radio
Astro Radio adalah entiti di bawah Astro Malaysia Holdings Berhad - Maestra Broadcast Sdn Bhd adalah pemegang lesen yang bertanggungjawab terhadap siaran
- Apabila kesalahan berlaku, badan penyiaran yang mengawal siaran perlu bertanggungjawab kerana mereka yang mempunyai kawalan penuh ke atas program, garis panduan editorial dan sistem pemantauan dalaman.
Kenapa Denda RM250,000 Bukan Lebih atau Kurang?
Denda RM250,000 dikenakan berdasarkan pindaan terbaru Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang berkuat kuasa mulai 11 Februari 2025.
Sebelum pindaan:
- Denda maksimum hanya RM50,000
Selepas pindaan:
- Denda maksimum meningkat kepada RM500,000
- Hukuman penjara sehingga 3 tahun boleh dikenakan
Dalam kes Astro, denda RM250,000 adalah separuh daripada jumlah maksimum yang boleh dikenakan, menunjukkan bahawa kesalahan ini dianggap serius tetapi bukan pada tahap paling berat.
Kenapa Era FM Tidak Digantung?
Walaupun kesalahan telah berlaku, penggantungan lesen bukanlah hukuman yang diambil secara sembarangan kerana ia memberi kesan kepada:
- Pekerja di stesen radio yang tidak terlibat secara langsung dalam kes ini
- Pendengar tetap yang bergantung kepada stesen radio untuk maklumat dan hiburan
- Stesen lain seperti Melody FM dan Mix FM, yang beroperasi di bawah lesen yang sama
Dengan mempertimbangkan semua faktor ini, MCMC memilih untuk mengenakan denda yang tinggi sebagai pengajaran kepada pemegang lesen, tanpa perlu menggantung operasi sepenuhnya.