KUALA LUMPUR, 4 Mac – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025, sekali gus mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada tahun 1992.
RUU tersebut diluluskan dengan sokongan 148 ahli Parlimen, manakala 57 ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) dan PAS memilih untuk berkecuali.
Kelulusan ini mengukuhkan lagi autonomi Parlimen serta membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memiliki sokongan majoriti yang jelas dalam Dewan Rakyat.
PMX Kekal Stabil, Pembangkang Gagal Bertindak
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, menyifatkan kelulusan RUU ini sebagai kejayaan besar dalam memperkukuh sistem demokrasi negara.
“Kerajaan hari ini berjaya bukan hanya menghapuskan satu dosa besar yang berlaku kepada Parlimen Malaysia dan demokrasi negara kita pada tahun 1992, tetapi lebih daripada itu, kita bakal membawa satu RUU yang lebih bermakna untuk warga Parlimen di Malaysia,” katanya dalam sidang media.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua 148 ahli Parlimen yang menyokong, sekali gus membuktikan kestabilan kerajaan di bawah pimpinan Anwar.
Sikap Pembangkang Dipersoal
Bagaimanapun, Fahmi meluahkan kekesalan terhadap tindakan 57 ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong RUU tersebut.
“Sepatutnya ketika ini semua pihak menyambut baik langkah yang dibawa oleh kerajaan. Namun kita lihat mereka gagal segagal-gagalnya,” katanya.
Menurutnya, pembangkang tidak menunjukkan komitmen terhadap usaha memperkukuh Parlimen, malah hujahan mereka sewaktu perbahasan dikatakan jauh menyimpang daripada isu utama.
“Bukan saja kita dengar perbahasan mereka jauh menyimpang daripada apa yang dibentangkan, malah mereka menunjukkan sikap yang tidak mahu membantu dalam proses memastikan Parlimen bebas,” katanya lagi.
Reformasi Parlimen Diteruskan
RUU Perkhidmatan Parlimen ini membolehkan Parlimen beroperasi secara bebas tanpa pengaruh eksekutif, sekaligus menghalang sebarang tindakan sewenang-wenangnya seperti penggantungan Parlimen yang pernah berlaku sebelum ini.
Kelulusan RUU ini menandakan satu lagi langkah ke hadapan bagi kerajaan dalam memastikan reformasi institusi diteruskan, sementara pembangkang dilihat terus gagal memainkan peranan mereka dalam memperjuangkan kepentingan demokrasi negara.