PUTRAJAYA, 3 Mac – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan bahawa Taklimat Harian PMO tidak bertindih dengan tugas jurucakap Kerajaan MADANI, YB Fahmi Fadzil, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Menurut kenyataan PMO, taklimat harian ini memberi fokus kepada perkembangan harian Perdana Menteri, penjelasan isu-isu semasa yang mendesak, serta arahan kepada kementerian dan agensi bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan dengan tersusun dan berkesan.
Sementara itu, peranan Fahmi Fadzil sebagai jurucakap kerajaan adalah menjelaskan dasar-dasar kerajaan serta keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri kepada rakyat.
“Taklimat Harian PMO bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan, tetapi melengkapkan struktur komunikasi Kerajaan bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat serta menangkis fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
PMO menegaskan bahawa strategi komunikasi yang lebih menyeluruh ini akan memastikan rakyat sentiasa mendapat maklumat sahih dan memahami hala tuju kerajaan dengan lebih jelas.