BARCELONA, 3 Mac – Malaysia menampilkan kejayaan besar dalam pembangunan digital menerusi Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA) di Mobile World Congress (MWC) 2025 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, berkata inisiatif JENDELA telah berjaya memperluaskan capaian internet berkelajuan tinggi ke seluruh negara, melebihi sasaran yang ditetapkan.
Sehingga 31 Disember 2024, lebih 9.03 juta premis telah menikmati sambungan internet gentian optik, mengatasi sasaran awal sebanyak 9 juta premis yang dirancang untuk tahun 2025.
“Kejayaan JENDELA bukan sekadar angka, tetapi bukti komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada teknologi yang boleh memperkasakan kehidupan mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kelajuan jalur lebar mudah alih di Malaysia kini meningkat kepada 105.36 Mbps, manakala liputan internet di kawasan berpenduduk mencapai 98.66 peratus. Rangkaian 5G juga telah diperluaskan dengan 82.4 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan kadar penembusan sebanyak 56.18 peratus.
Teknologi Perkasa Pelbagai Sektor
Selain JENDELA, Malaysia juga telah menubuhkan 1,099 Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara menerusi inisiatif ‘1 Kawasan Undi 1 NADI’. Pusat ini bukan sahaja menyediakan akses internet, tetapi juga memainkan peranan dalam memperkasakan komuniti dengan pelbagai inisiatif Perkhidmatan Pintar.
Dalam sektor kesihatan, teknologi 5G kini membolehkan hospital menjalankan pembedahan jarak jauh dengan kadar kelewatan hampir sifar. Sistem pendidikan pula menggunakan teknologi AR/VR yang disokong oleh kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan pengalaman pembelajaran lebih interaktif.
Sektor pertanian turut mendapat manfaat apabila penggunaan robotik dan operasi jarak jauh meningkatkan kecekapan pengeluaran. Dalam industri pembuatan, integrasi 5G dan AI telah membolehkan automasi yang lebih cekap, mengurangkan kesilapan manual dan meningkatkan produktiviti.
Datuk Mohamad Fauzi menegaskan bahawa perkembangan teknologi ini bukan sekadar inovasi, tetapi langkah penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Marilah kita bersama membina dunia di mana inovasi bukan sekadar cita-cita, tetapi menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.
Turut hadir dalam majlis perasmian Pavilion Malaysia di MWC 2025 ialah Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Dato’ Sri Dr. Chee Hong Leong, serta Penasihat Kanan Perhubungan Antarabangsa MCMC, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini.
MWC 2025 yang berlangsung sehingga 6 Mac dijangka menjadi platform penting bagi Malaysia mempamerkan kejayaan transformasi digital negara kepada dunia.