Written by 10:42 am Semasa

SPRM SITA RM170 JUTA & JONGKONG EMAS – BEKAS PM ISMAIL SABRI DISIASAT

PUTRAJAYA, 2 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui kerajaan. Kes ini dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, Ismail Sabri telah diarahkan untuk mengisytiharkan harta pada 11 Disember 2024 dan telah berbuat demikian pada 10 Februari 2025.

SPRM turut menahan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah pentadbiran beliau. Hasil siasatan lanjut, SPRM telah menjalankan serbuan ke atas beberapa lokasi, termasuk kediaman dan tiga premis lain yang dipercayai berperanan sebagai ‘safehouse’.

Dalam operasi tersebut, SPRM menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan. Turut dirampas ialah 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Ismail Sabri telah hadir ke pejabat SPRM pada 19 Februari 2025 untuk memberikan keterangan dan dijangka akan dipanggil semula bagi membantu siasatan.

SPRM juga telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.

Dalam satu kenyataan, SPRM menegaskan bahawa siasatan ini dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang. Suruhanjaya itu turut memberi jaminan bahawa segala bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram akan ditangani dengan tegas demi kepentingan negara.

Close