Written by 6:15 am Semasa

JAKIM ‘Pass Bola’ ke SKMM? Dr Abu Hafiz Persoal Tindakan Longgar Terhadap Isu Lelaki Berpakaian Wanita

Kuala Lumpur, 19 Februari – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mungkin perlu semak balik taktik mereka dalam menangani isu lelaki Muslim berpakaian wanita di sebuah acara hiburan baru-baru ini. Bukannya terus bertindak atau merujuk pihak berkuasa agama berkaitan, JAKIM memilih untuk ‘pass bola’ kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Salah seorang yang lantang mempersoalkan tindakan JAKIM ialah Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, seorang pakar dalam bidang syariah dan perundangan Islam. Dalam ciapannya, beliau menyoal:

“Kenapa hanya memanjangkan pada SKMM? Bukankah tempat acara dalam Wilayah dan JAKIM lebih aula untuk hubungi JAWI yang ada kuasa bertindak di bawah Seksyen 28 Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah? Lepas tangan?!”

Sindirannya tepat dan tajam – kalau benar JAKIM serius, kenapa tidak terus menghubungi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), yang jelas mempunyai bidang kuasa dalam isu ini? Bukankah JAWI boleh mengambil tindakan terhadap lelaki Muslim berpakaian wanita di tempat awam berdasarkan undang-undang syariah? Atau JAKIM sekadar mahu menenangkan keadaan tanpa langkah konkrit?

Sementara itu, kenyataan JAKIM yang menegaskan bahawa Islam adalah agama rahmah dan hiburan itu harus mempunyai batas, kelihatan seperti ayat selamat yang tidak membawa makna tindakan.

Jika benar mahu memastikan insiden seperti ini tidak berulang, apakah langkah seterusnya? Atau sekadar satu lagi episod kenyataan rasmi yang akhirnya tenggelam tanpa hasil?

JAKIM, bola di kaki anda. Rakyat sedang menunggu gerakan seterusnya.

Close