Kuala Lumpur, 18 Februari – Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) tampil ‘membetulkan jalan cerita’ selepas pelakon Shahanaz Ahmad membuat kenyataan panas mengenai pakaian tetamu lelaki di Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3. Lebih hangat, Shahanaz tanpa asas menuding jari kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, seolah-olah beliau pengarah fesyen acara tersebut.
PTVM dalam kenyataan rasmi hari ini menegaskan bahawa AJL adalah program anjuran stesen TV swasta dan langsung tiada kena-mengena dengan Kementerian Komunikasi. Tuduhan Shahanaz terhadap Fahmi bukan sahaja tersasar jauh, malah memperlihatkan ketidakfahamannya terhadap bagaimana industri penyiaran berfungsi.
“Sebagai seorang artis berpendidikan, Shahanaz sepatutnya lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan awam. Kalau nak tegur, biarlah berhemah dan berfakta, bukannya sekadar mencipta sensasi,” kata Presiden PTVM, Dato’ Jurey Latiff Rosli.
PTVM juga mengingatkan bahawa isu pemakaian yang dikatakan bertentangan dengan norma budaya dan agama bukan urusan menteri, tetapi sepatutnya dirujuk kepada pihak penganjur atau agensi berwajib seperti JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri.
Sebagai seorang artis popular, kata PTVM, Shahanaz seharusnya menjadi contoh yang baik dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat dan mencetuskan ketegangan.
Sehubungan itu, PTVM mendesak agar pelakon itu segera menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi Fadzil.
“Nak jadi artis berpengaruh bukan sekadar pandai berlakon, tetapi juga perlu bertanggungjawab dalam setiap kata-kata yang dikeluarkan,” tegas PTVM.
Jadi, adakah Shahanaz bersedia mengubah skripnya atau terus membiarkan dirinya ‘tersalah dialog’?