Satu perkara yang nampaknya ramai tak faham dalam polemik garis panduan umat Islam ke majlis upacara agama kaum lain ialah ini: kenapa kita nak obses buat garis panduan untuk perkara yang sebenarnya tak ada isu?
Betul, setiap agama ada batas. Tapi kalau selama ini kita hidup harmoni tanpa rasa perlu ada garis panduan rasmi, kenapa sekarang tiba-tiba ia jadi keperluan? Apa yang berubah sangat?
Mari kita kupas hujah demi hujah.
“Garis Panduan Bukan Undang-Undang, Jadi Apa Salahnya?”
Kata mereka, garis panduan ni cuma panduan – bukan paksaan. Tapi persoalannya, kenapa garis panduan ini perlu diwujudkan? Untuk siapa sebenarnya?
Adakah Muslim di negara ini terlalu lemah hingga perlu disuap dengan panduan rasmi untuk hidup dalam masyarakat majmuk? Kalau benar garis panduan ini “tidak mengganggu sesiapa,” kenapa ia mencetuskan polemik besar-besaran? Sebab ramai sedar ia lebih bersifat simbolik – simbolik kepada sikap memencilkan diri dan memandang curiga kepada pihak lain.
Kalau betul hanya panduan, kenapa tidak buat garis panduan untuk semua aspek hidup umat Islam? Panduan mengurus jiran bukan Muslim. Panduan menonton filem bukan Islam. Panduan makan mi kari di kedai Cina.
Kalau setiap perkara kecil nak diatur, apa guna akal? Apa guna iman?
“Keharmonian Tak Perlukan Muslim Sertai Upacara Agama Lain”
Betul, harmoni tak bermaksud kena sertai upacara agama lain. Tapi apa logiknya buat garis panduan yang menghalang Muslim untuk hadir dengan alasan “nak jaga batas agama,” sedangkan kita sendiri tahu hadir bukan bermaksud terlibat?
Masalahnya, cadangan garis panduan ini memberi gambaran bahawa Muslim di Malaysia tak tahu membezakan antara menghormati dan terlibat. Dan itulah puncanya orang marah.
Kawan-kawan bukan Islam jemput ke majlis mereka – kita hadir, makan kuih, dengar muzik. Itu pun nak kena semak panduan? Ini bukan soal agama. Ini soal kita yang semakin paranoid dengan bayang-bayang sendiri.
Kita bukan hidup dalam vakum. Keharmonian bukan tentang “tak perlu hadir majlis orang lain.” Keharmonian ialah tentang saling menerima dan tak cepat melatah. Tak ada sesiapa yang suruh kita bersujud di altar.
“Minoriti di Negara Ini Dilayan Lebih Baik Berbanding Negara Lain”
Hujah ini paling lemah. Apa relevannya bandingkan Malaysia dengan negara yang ada konflik agama atau bangsa? Kalau kita nak banding, bandingkan dengan negara yang lebih harmoni, yang tak buat undang-undang kecil-kecil semata nak kawal pergaulan rakyat.
Adakah minoriti di Malaysia harus rasa bersyukur hanya kerana mereka tak ditindas seperti di negara lain? Ini standard yang kita nak banggakan?
Sebagai majoriti, kita tak patut ukur kebaikan kita dengan “sekurang-kurangnya kita tak macam Myanmar.” Kita patut tanya diri, apa lagi kita boleh buat untuk perbaiki persefahaman.
“Muslim Perlu Tegas Jaga Batas Agama”
Tegas menjaga batas agama tak bermaksud jadi defensif terhadap setiap perkara. Adakah menghadiri majlis perayaan kaum lain menghilangkan iman?
Teguhnya akidah bukan terletak pada siapa yang hadir atau tak hadir ke perayaan orang lain, tapi pada kefahaman sendiri tentang agama. Kalau iman boleh tergugat hanya kerana pergi majlis kawan, itu bukan salah majlis, itu salah kita yang tak cukup yakin pada diri.
Dan lagi, kalau benar soal batas agama yang dirisaukan, kenapa tak buat panduan khas untuk pesta-pesta hiburan, festival muzik, atau konsert yang jelas melibatkan benda-benda yang bertentangan dengan Islam? Sebab itu lebih mudah untuk dicemuh atau dikritik oleh orang Islam sendiri, ya?
“Kita Tak Perlu Melanggar Agama untuk Jadi Harmoni”
Memang tak perlu melanggar agama untuk jadi harmoni. Tapi harmoni juga bukan alasan untuk menjadikan agama senjata yang mempertahankan ego kita sendiri.
Realitinya, harmoni di Malaysia tak terancam pun sebelum wujud cadangan garis panduan ini. Jadi apa tujuan sebenar ia dicadangkan? Kalau niatnya untuk mengukuhkan kefahaman agama, kenapa tidak fokus kepada pendidikan dan penerangan, bukannya garis panduan yang akan menimbulkan salah tafsir?
Garis panduan seperti ini sebenarnya lebih berpotensi untuk memecah-belahkan berbanding menyatukan. Ia mencetuskan ketegangan yang tak pernah wujud sebelum ini.
Hormat Tak Perlukan Garis Panduan
Hormat ialah asas keharmonian. Dan hormat tak memerlukan garis panduan rasmi. Kehidupan bermasyarakat adalah tentang memahami, bertolak ansur, dan belajar daripada satu sama lain.
Jika kita terus hidup dalam kerangka “kami vs mereka,” jangan harap generasi akan datang dapat mewarisi Malaysia yang harmoni. Garis panduan ini mungkin niatnya baik, tapi pelaksanaannya lebih banyak menimbulkan kekeliruan daripada membantu.
Mari kita hentikan budaya melatah ini. Keharmonian sebenar ialah apabila kita mampu berdiri teguh dengan agama sendiri sambil memberi ruang kepada orang lain untuk hidup dengan cara mereka. Tanpa garis panduan, tanpa drama dan tanpa paranoia.