Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mengumumkan keputusan untuk menghentikan sementara penggunaan kaedah ‘redirection DNS’ sebagai langkah penguatkuasaan ke atas laman web tertentu. Keputusan ini diambil selepas menerima maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pakar teknologi, pengguna internet, dan aktivis hak digital.
“Kami amat menghargai pandangan serta kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat dan pakar industri mengenai penggunaan kaedah redirection DNS. Oleh itu, kami telah memutuskan untuk menghentikan langkah ini buat sementara waktu, dan dalam masa yang sama akan mendapatkan lebih banyak input serta nasihat daripada pakar untuk memastikan pendekatan yang lebih holistik dalam menangani isu keselamatan digital.”
Kebebasan Digital Seiring Keselamatan Siber
Kami faham bahawa kebebasan digital adalah penting, dan kami akan sentiasa memastikan pendekatan yang diambil oleh MCMC tidak akan menjejaskan hak asasi rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, keselamatan dalam talian, khususnya dalam melindungi daripada ancaman siber, kekal menjadi keutamaan.
Penglibatan Pakar Teknologi untuk Langkah Seterusnya
Untuk itu, MCMC akan mempergiatkan sesi rundingan dengan pelbagai pakar dalam bidang teknologi, keselamatan siber, dan undang-undang digital untuk merumuskan pendekatan yang lebih berkesan dalam melindungi pengguna internet tanpa menjejaskan hak mereka.
“Kami kini dalam proses mendapatkan pandangan dari pakar tempatan dan antarabangsa. Ini termasuk pakar yang berpengalaman dalam teknologi internet, pengurusan data, dan kebebasan digital. Pandangan ini akan membantu kami dalam merangka dasar yang lebih inklusif, memastikan keseimbangan antara keselamatan dan kebebasan.”
Keprihatinan Pengguna Internet
Pelbagai pihak telah menyuarakan kebimbangan mengenai kesan redirection DNS ke atas kebebasan internet dan kemungkinan ia digunakan secara salah oleh pihak-pihak tertentu. Pengguna internet juga menyuarakan kebimbangan mengenai kelajuan dan aksesibiliti laman web tertentu yang terjejas akibat penggunaan kaedah ini.
“Kami mendengar dengan teliti setiap kebimbangan yang disuarakan, dan kerajaan tidak akan melaksanakan dasar yang menjejaskan kelajuan internet atau mengurangkan akses kepada laman web sah. Kami akan memastikan segala langkah yang diambil adalah mengikut undang-undang dan selaras dengan hak asasi manusia, dalam masa yang sama selari dengan norma dan budaya negara Malaysia.”
Sebagai langkah selanjutnya, MCMC akan terus mengadakan sesi dialog terbuka dengan masyarakat, pengamal industri, dan pihak-pihak berkepentingan lain bagi memastikan semua pihak mendapat maklumat yang tepat mengenai sebarang perubahan dasar berkaitan penggunaan internet di Malaysia.
MCMC dengan ini menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama yang baik, supaya kita dapat sama-sama membentuk persekitaran digital yang bukan sahaja bebas tetapi juga selamat ntuk semua.