Written by 2:59 pm Semasa

Caprice Saman Rafizi RM10 Juta, Pertikai Hubungan Dengan Itramas

Selebriti dan usahawan media sosial Caprice memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, berhubung kenyataan yang didakwa menjejaskan reputasinya.

Dalam satu kenyataan media bertarikh 26 Februari 2026, Caprice memaklumkan beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan saman terhadap Rafizi selepas Ahli Parlimen itu didakwa gagal memohon maaf serta menurunkan beberapa hantaran media sosial berkaitan tuduhan bahawa Caprice telah memfitnah beliau.

Menurut Caprice, dua surat tuntutan peguam telah dihantar masing-masing pada 20 Februari dan 23 Februari 2026, namun tiada permohonan maaf atau tindakan susulan diambil oleh Rafizi.

Beliau turut memaklumkan bahawa proses penyerahan saman dijangka dilakukan pada hari berikutnya.

Dalam kenyataannya, Caprice turut mempertikaikan penjelasan Rafizi dalam satu podcast yang disiarkan pada 20 Februari lalu. Menurut beliau, Rafizi tidak menafikan hubungan perniagaan dengan Lee Choo Boo, Ketua Pegawai Eksekutif Itramas Corporation, yang sebelum ini pernah memegang saham dalam syarikat Invoke.

Caprice juga mendakwa Rafizi tidak menafikan penglibatan beliau dalam projek National Energy Transition Roadmap (NETR) yang telah dianugerahkan kepada Itramas Corporation ketika beliau memegang jawatan Menteri Ekonomi.

Dalam saman tersebut, Caprice menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta selain permohonan maaf serta injunksi bagi menghalang Rafizi daripada terus mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Beliau berkata tindakan undang-undang itu diambil bagi membersihkan namanya daripada tuduhan yang menurutnya telah menjejaskan reputasi beliau.

Setakat ini tiada kenyataan balas dikeluarkan oleh pihak Rafizi Ramli berhubung saman tersebut.

Pertikaian antara kedua-dua pihak bermula selepas beberapa kenyataan dan hantaran media sosial berkaitan dakwaan konflik kepentingan melibatkan Invoke dan projek NETR menjadi tular di media sosial.

Kes saman tersebut dijangka menarik perhatian kerana melibatkan tokoh politik kanan kerajaan dan seorang pengaruh media sosial yang mempunyai pengikut besar dalam talian.

Close