Written by 1:01 pm Semasa

Fahmi Fadzil: Malaysia Sasar Kekal Dalam ITU, Tegas Peranan Sebagai Jurucakap Rantau

TOKYO, 31 Mei — Malaysia menyatakan kesediaannya untuk terus memainkan peranan sebagai Ahli Majlis dalam International Telecommunication Union (ITU) bagi sesi 2027 hingga 2030. Komitmen ini dinyatakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam beberapa pertemuan dua hala sempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) di Tokyo, Jepun.

Menurut beliau, Malaysia telah memohon sokongan berterusan daripada negara-negara anggota APT agar dapat mengekalkan keanggotaan dalam majlis tertinggi badan telekomunikasi dunia itu.

“Sebagai Ahli Majlis, Malaysia bukan sahaja mewakili kepentingan negara sendiri tetapi juga mewakili rantau Asia serta negara-negara membangun dalam menentukan dasar strategik ITU dan pelaksanaan keputusan yang dibuat dalam persidangan,” jelas beliau.

Perkara ini turut disentuh dalam pertemuan Datuk Fahmi dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Murakami Seiichiro dan Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Zhang Yunming. Kedua-dua negara merupakan antara rakan strategik Malaysia dalam bidang digital dan komunikasi.

Dalam masa yang sama, ITU juga telah menjemput Malaysia untuk menghadiri beberapa sidang kemuncak penting pada tahun ini, termasuk di Riyadh, Arab Saudi pada September, dan di Baku, Azerbaijan pada bulan November.

Datuk Fahmi turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr. Cosmas Luckyson Zavazava. Dalam sesi itu, beliau menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh jaringan internet yang selamat, dipercayai dan inklusif di seluruh negara.

“Malaysia akan terus memastikan semua rakyat tanpa mengira lokasi mendapat akses digital yang setara, selamat dan mampu milik,” tegas beliau.

Malaysia kini dalam misi memperkukuh kehadiran dan pengaruhnya dalam platform serantau dan antarabangsa demi memastikan suara negara membangun terus didengari dalam landskap digital global.

Close