Written by 12:00 pm Semasa

Tengku Zafrul Pilih Jalan Sendiri, UMNO Terus Melangkah

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad hari ini memberi respon tenang berhubung keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO dan memilih haluan politik baharu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, beliau menyatakan penghargaan terhadap sumbangan Zafrul sebagai teknokrat yang pernah berkhidmat dalam kerajaan atas tiket UMNO, khususnya dalam bidang ekonomi dan kewangan.

“Saya menghormati keputusan Tengku Zafrul untuk berundur daripada UMNO dan memilih arah politik yang lebih dekat dengan pandangan peribadi beliau. Sepanjang berada dalam kerajaan atas tiket UMNO, beliau telah memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan. Kami ucapkan terima kasih atas segala sumbangan beliau,” tulis beliau.

Menurut beliau lagi, UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu, sebaliknya kekal berdiri atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan dan kepercayaan rakyat.

“Orang datang dan pergi, itu lumrah politik. Yang penting perjuangan ini mesti diteruskan,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan keluar parti bukanlah perkara luar biasa, sebaliknya mencerminkan dinamika politik semasa yang semakin terbuka dan pelbagai.

“Kepada ahli dan penyokong UMNO, jangan goyah. Jangan biar tindakan satu dua orang mengganggu hala tuju kita. Parti ini bukan dibina sehari dua dan bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh. UMNO adalah amanah yang lebih besar daripada itu.”

Beliau mengakhiri kenyataan dengan doa agar Zafrul berjaya dalam perjuangan politik baharunya, sambil menyatakan komitmen UMNO untuk terus menyatukan barisan dan memperjuangkan kepercayaan rakyat.

Tengku Zafrul mengesahkan pengundurannya daripada UMNO, selepas spekulasi mengenai langkah politik baharunya mula berlegar sejak beberapa minggu lalu. Beliau sebelum ini menyertai Kabinet sebagai Menteri Kewangan semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri di bawah kerajaan perpaduan.

Close