Written by 11:48 am Semasa

Malaysia dan Indonesia Perkukuh Kerjasama Media di Tokyo

Tokyo, 31 Mei – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengadakan pertemuan rasmi bersama Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Viada Hafid di Tokyo. Pertemuan yang sekian lama dirancang itu akhirnya menjadi kenyataan ketika kedua-dua pemimpin menghadiri Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) di Jepun.

Perbincangan berlangsung dalam suasana positif dan mesra, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang komunikasi, media serta infrastruktur digital.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik antara agensi berita nasional masing-masing iaitu BERNAMA dan ANTARA. Usaha ini merangkumi pertukaran bahan berita, liputan rentas sempadan, serta perkongsian sumber dan latihan profesional antara petugas media.

Kerjasama ini disifatkan penting bagi memastikan kedua-dua agensi kekal relevan dan mampu menyampaikan maklumat yang tepat serta seimbang kepada rakyat di negara masing-masing.

Datuk Fahmi dan Meutya turut memberi perhatian terhadap peranan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dalam merapatkan hubungan media antara kedua-dua negara. ISWAMI bukan sahaja menjadi platform rangkaian profesional wartawan, malah memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pemahaman bersama menerusi penceritaan yang inklusif.

Datuk Fahmi turut menyatakan keyakinan bahawa melalui semangat kejiranan dan nilai bersama yang dikongsi, Malaysia dan Indonesia dapat terus memperluaskan kerjasama serantau dalam bidang komunikasi dan media demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Pertemuan ini turut menyentuh cabaran semasa dalam landskap maklumat digital dan keperluan kerjasama rentas sempadan bagi membentuk persekitaran komunikasi yang lebih selamat, mampan dan bertanggungjawab.

Close