Written by 9:36 pm Semasa

RM1.5 Bilion Duit Rakyat Tiris Setahun: Siapa Sebenarnya Kebas Subsidi LPG?

Isu subsidi LPG kembali hangat. Ada yang mendakwa kononnya kerajaan kini menyusahkan peniaga kedai makan, restoran dan sektor komersial dengan mengehadkan penggunaan gas bersubsidi. Lalu, seperti biasa, ‘alasan’ pun mula keluar – kononnya harga makanan terpaksa dinaikkan kerana subsidi ditarik.

Tapi mari kita cakap terus-terang. Harga makanan tidak naik kerana subsidi ditarik daripada rakyat. Ia naik kerana subsidi selama ini disalahgunakan oleh peniaga berskala besar yang tidak layak pun terima bantuan tersebut.

Siapa Sebenarnya Layak Dapat Subsidi?

Sejak tahun 2003, subsidi LPG ditetapkan khusus untuk kegunaan isi rumah sahaja. Ia bukan untuk kedai dobi, bukan untuk restoran, bukan untuk hotel atau kilang roti. Tetapi laporan Ketua Audit Negara 2018 telah mendedahkan bahawa lebih separuh daripada subsidi LPG telah digunakan oleh sektor bukan isi rumah termasuk peniaga-peniaga besar. Ertinya, subsidi yang sepatutnya bantu rakyat marhaen telah dinikmati oleh sektor komersial selama ini.

Apa yang kerajaan lakukan sekarang hanyalah memastikan subsidi itu sampai kepada sasaran sebenar. Maka, satu had ditetapkan, peniaga hanya boleh gunakan maksimum tiga tong gas bersubsidi pada satu-satu masa (42kg). Jika mahu lebih, mereka perlu mohon permit daripada KPDN.

Ini bukan dasar baru. Ini pembetulan kepada satu kebocoran lama yang menelan sehingga RM1.5 bilion setahun.

Peniaga Besar Untung, Rakyat Tanggung?

Apa yang lebih pelik bila subsidi bocor kepada peniaga besar, tiada siapa bising. Tapi bila kerajaan bertindak betulkan ketirisan itu, tiba-tiba muncul naratif harga makanan naik.

Kalau selama ini peniaga dapat beli LPG pada harga subsidi, adakah mereka pernah turunkan harga makanan kepada pengguna? Tidak. Jadi kenapa bila kerajaan minta mereka guna LPG komersial seperti sepatutnya, mereka anggap itu sebagai beban yang perlu dipindahkan kepada pelanggan?

Ini bukan logik ekonomi, ini logik menangguk di air keruh.

Yang Kecil Masih Boleh Berniaga

Kerajaan juga tidak menutup terus akses kepada subsidi bagi peniaga kecil-kecilan. Penjual makanan dari rumah, warung atau peniaga mikro masih boleh guna subsidi, asalkan dalam had yang ditetapkan. Subsidi masih ada, tapi dengan kawalan.

Yang benar-benar memerlukan masih dapat dibantu. Yang sudah lama menyalahguna, akhirnya perlu kembali ke tempat asal mereka iaitu guna LPG komersial seperti yang sepatutnya dari awal.

Subsidi Milik Rakyat, Bukan Modal Niaga

Isu ini bukan soal gas semata-mata. Ia soal prinsip. Subsidi bukan bonus untuk restoran mahal mengurangkan kos operasi. Ia adalah hak rakyat yang sepatutnya dibela oleh kerajaan.

Jadi, cukup-cukuplah dengan alasan menaikkan harga makanan kononnya kerana subsidi ditarik. Kebenarannya, kerajaan sedang memperbaiki sistem. Dan seperti biasa, bila ketirisan ditutup, yang paling bising ialah mereka yang selama ini hidup dari kebocoran tersebut.

Kalau nak berniaga, silakan. Tapi jangan jadikan subsidi rakyat sebagai modal keuntungan.

Close