Mesej palsu kembali menghantui media sosial. Kali ini, satu dakwaan liar tersebar kononnya sebelas Ahli Parlimen PKR telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan akan membuat pengumuman rasmi pada 30 Mei. Lebih pelik, senarai tersebut memasukkan nama tokoh-tokoh kanan parti dan anggota Kabinet sendiri. Logik akal? Tidak langsung.
Rakyat Sudah Kenal Skrip Lama
Ini bukan kali pertama rakyat Malaysia dihidangkan dengan ‘ramalan kerajaan tumbang’. Sejak era politik pasca-Sheraton, terlalu banyak drama cuba dimainkan melalui tangkap layar WhatsApp, suara rakaman tanpa identiti dan spekulasi tanpa sumber. Bezanya, rakyat hari ini sudah tahu membezakan realiti dan skrip politik murahan.
Senarai Yang Menghina Logik Politik
Antara nama yang disenaraikan termasuk YB Chang Lih Kang, dan YAB Aminuddin Harun. Semua ini adalah pemimpin kanan PKR yang baru sahaja memenangi jawatan tertinggi dalam parti dan sedang menerajui kementerian serta kerajaan negeri. Dalam bahasa mudah, merekalah tulang belakang kerajaan.
Cuba bayangkan, kenapa seorang Menteri Besar yang kekal diberikan kepercayaan oleh Presiden partinya, malah baru dipilih sebagai Naib Presiden PKR, tiba-tiba mahu menjatuhkan kerajaan yang beliau sendiri sedang wakili? Ini bukan sahaja tidak masuk akal malah menunjukkan betapa rendahnya usaha sesetengah pihak untuk mencipta naratif kudeta.
Fitnah Yang Cepat Dibalas Fakta
Individu yang dinamakan satu demi satu tampil menafikan dakwaan tersebut. Ada yang terus menyiarkan kenyataan rasmi. Ada yang menyindir fitnah itu dengan humor. Semua ini menunjukkan satu perkara, cerita ini tidak punya asas langsung.
Jika benar ada perpecahan atau krisis dalaman, sudah tentu ada gerak isyarat daripada dalam parti itu sendiri. Tetapi apa yang kita lihat hanyalah kerajaan yang meneruskan agenda, menteri-menteri yang bekerja dan pimpinan yang terus turun padang.
Tukar Kerajaan Bukan Melalui WhatsApp
Apa yang berlaku ini sebenarnya adalah satu cubaan gagal untuk mengganggu fokus kerajaan. Dalam saat negara sedang berusaha memulihkan ekonomi, memperkukuh kedudukan fiskal dan melaksanakan reformasi institusi, masih ada yang mahu kembali kepada politik jalan belakang.
Dan yang paling penting, rakyat tidak lagi bodoh. Mereka sudah cukup muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan.
Jangan Jadi Pengecut Politik
Jika benar mahu tukar kerajaan, bertandinglah dalam pilihan raya. Kempen, turun padang dan yakinkan rakyat. Tapi jika hanya tahu reka cerita dan sebarkan mesej palsu untuk cipta persepsi, ia hanya memperlihatkan betapa ceteknya strategi politik yang digunakan.
Kerajaan hari ini tidak goyah. Tapi yang menyebar cerita palsu mungkin sedang gelabah kerana tahu, mereka sudah lama hilang arah.