Pada 2024, pemimpin PAS mengkritik draf MoU peruntukan pembangkang. Dua tahun kemudian, 13 Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas dilaporkan menandatangani CSA dengan Kerajaan MADANI.
Selepas polemik berpanjangan, satu titik pertemuan akhirnya dicapai apabila 13 Ahli Parlimen dari blok pembangkang dan Bebas – termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman – dilaporkan secara rasmi menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI.
Pemeteraian CSA ini bukan sahaja membolehkan mereka menerima peruntukan kawasan, malah merintis kerangka kerjasama dwipartisan yang lebih teratur dalam pengurusan urusan Parlimen. Namun, perkembangan ini pantas mengimbau kembali siri episod penolakan yang berlaku dua tahun lalu.
Mengimbau peristiwa pada 2024, kerajaan telah merangka dan menyerahkan draf Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai ruang untuk merundingkan penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang. Respons yang diterima ketika itu amat berbeza. Beberapa pemimpin PAS tampil membidas syarat-syarat yang dicadangkan, malah mengaitkan isu tersebut dengan naratif bahawa Kerajaan MADANI sedang berlaku ‘zalim’ dan cuba mengikat kebebasan mereka.
Ironinya, dokumen yang dipertikaikan itu sebenarnya masih berada di peringkat draf. Ia adalah satu kertas cadangan yang terbuka sepenuhnya untuk proses rundingan, perbahasan, dan cadangan balas daripada pihak pembangkang. Walaupun laluan diplomasi terbentang luas, kepimpinan pembangkang ketika itu memilih jalan yang drastik dengan menolak draf tersebut secara total. Akibat daripada keengganan berunding ini, pertikaian berlanjutan selama dua tahun dan kawasan-kawasan pembangkang terus ketandusan dana peruntukan pembangunan.
Langkah berani 13 Ahli Parlimen memecah tembok keengganan ini membuktikan satu perkara penting: rundingan yang rasional mampu menjadi jalan keluar yang konkrit. Menandatangani CSA tidak bermaksud mereka ‘terikat’ atau menggadai prinsip. Perjanjian ini tidak menjejaskan peranan dan kebebasan mereka sebagai pembangkang untuk terus mengkritik, menegur, serta menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan.
Realiti politik hari ini menelanjangkan kembali keputusan PAS dan sekutu pembangkangnya dua tahun lalu. Apabila Syed Saddiq dan 12 wakil rakyat lain membuktikan bahawa peruntukan boleh diperolehi melalui meja rundingan tanpa mematikan suara kritikan mereka di Parlimen, rakyat kini berhak menuntut jawapan.
Adakah keengganan PAS dan kepimpinan pembangkang untuk berunding dan membuat cadangan balas sebelum ini benar-benar langkah strategik untuk membela rakyat, atau ia sekadar mainan persepsi politik yang akhirnya merugikan kawasan yang mereka wakili? Tindakan kumpulan 13 Ahli Parlimen ini jelas menunjukkan bahawa apabila ego diketepikan demi keutamaan pengundi, pintu penyelesaian sentiasa terbuka.