Majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka malam ini mencuri tumpuan ramai, bukan sahaja kerana senarai nama yang diumumkan, tetapi juga berikutan insiden barisan pemimpin MCA didakwa bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.
Tindakan mengejutkan itu mula dihidu dan didedahkan oleh beberapa pengamal media yang berada di lokasi majlis. Berdasarkan laporan, beberapa individu yang mengenakan baju seragam korporat MCA, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, dilihat bergegas meninggalkan dewan ketika majlis pengumuman masih sedang berlangsung.
Tindakan ‘walkout’ ini dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dan pertikaian yang timbul di minit-minit terakhir berhubung isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN.
Sebelum ini, kepimpinan MCA dilaporkan telah meletakkan syarat dan menuntut untuk bertanding di sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka kali ini. Walau bagaimanapun, parti tersebut difahamkan hanya diperuntukkan dua kerusi sahaja oleh pucuk pimpinan BN.
Keputusan yang dilihat tidak memihak kepada tuntutan asal MCA itu dipercayai menjadi penyumbang utama kepada ketegangan malam ini.
Perkembangan terbaharu ini pastinya menimbulkan persoalan mengenai kesepakatan jentera BN dalam menghadapi PRN Melaka yang dijangka sengit. Setakat artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kepimpinan tertinggi MCA mahupun BN berhubung insiden protes tersebut.