Written by • 8:49 pm• Semasa •

RM100 Juta Peruntukan Segera Tangani Banjir Lembah Klang

Setiap kali awan hitam mula bergayut di langit Lembah Klang, dada jutaan warga kota berdegup kencang, bukan kerana rindu tapi trauma membayangkan kereta tenggelam dan rumah ditenggelami selut.

Namun kali ini, Putrajaya enggan terus membiarkan rakyat hidup dalam igauan ngeri apabila Kerajaan Madani tampil mengunci mulut pengkritik menerusi suntikan dana segera RM100 juta dalam Belanjawan 2027 khas untuk menangani bencana banjir kilat di Selangor dan kawasan sekitar.

Dana mega ini difokuskan terus kepada nadi punca masalah iaitu mempercepatkan pembinaan kolam takungan air serta kerja-kerja penyelenggaraan sungai yang selama ini tersumbat dan terabai.

Langkah agresif ini membuktikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sekadar bermain retorik politik di atas kertas, sebaliknya meletakkan keselamatan rakyat Lembah Klang di barisan hadapan.

Kesungguhan ini diperkukuhkan lagi apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari mencapai kata sepakat melaksanakan lima langkah intervensi utama, termasuk menilai semula kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi menampung impak cuaca ekstrem untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Menteri Besar Selangor sendiri menyambut baik komitmen ini, menegaskan bahawa sinergi erat negeri-persekutuan adalah kunci mati dalam memastikan projek mitigasi banjir bukan sekadar ‘touch ‘n go’, tetapi menjadi perisai ampuh melindungi nyawa dan kerugian harta benda bernilai ratusan juta ringgit setiap tahun.

↑
Close