Written by • 6:15 pm• Semasa •

10,000 Pelajar Miskin Terima Pendidikan Percuma

Ramai yang sinis bila sebut pasal janji pendidikan percuma; ada yang kata sembang kari, tak kurang juga yang melabelnya sekadar retorik manis setiap kali musim pilihan raya tiba. Namun hakikatnya, perdebatan itu kembali panas selepas Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Adam Adli, mendedahkan bahawa langkah ke arah pendidikan tanpa beban hutang sebenarnya sudah pun bermula secara berfasa, khusus menyasarkan kelompok yang paling rapuh dalam struktur ekonomi negara.

Bukan sekadar cakap kosong, fakta di atas meja membuktikan pelupusan hutang masa depan PTPTN telah mula digerakkan untuk 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah berdasarkan Garis Panduan Kemiskinan.

Lebih drastik, dasar ini bukan terhad kepada pelajar baharu yang baru menjejakkan kaki ke kampus, sebaliknya turut merangkumi mereka yang sedang bertungkus-lumus menghabiskan baki semester.

Pada masa sama, kerajaan Madani turut memuktamadkan pengecualian yuran pengajian sepenuhnya bagi mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh IPTA, sekali gus menghapuskan ketakutan belia miskin daripada terjerat status pinjaman tidak berbayar (NPL) seawal usia 20-an.

Langkah ini sudah tentu mencetuskan pelbagai reaksi – ada yang memuji keberanian kerajaan memulakan reformasi daripada akar umbi, namun ada juga pihak yang mempersoalkan kenapa ia tidak dibuka secara menyeluruh kepada semua rakyat.

Menjawab kritikan itu, pihak kepimpinan sendiri mengakui bahawa tiada istilah “dasar yang sempurna” dan usaha ini masih jauh daripada garisan penamat yang ideal.

Namun dalam konteks fiskal negara yang mencabar, menyelamatkan kelompok paling melarat terlebih dahulu dilihat sebagai formula paling pragmatik sebelum ruang pendidikan percuma ini diperluaskan ke fasa seterusnya.

Adakah kita mahu terus berpeluk tubuh menunggu satu formula magis yang kononnya sempurna, atau mengakui bahawa menghentikan kitaran hutang anak-anak miskin hari ini jauh lebih bermakna daripada janji bulan dan bintang yang tidak pernah kunjung tiba?

Akhir kalam, Behar dah boleh mula isi borang PKR dan bantu team PMX nanti tau.

↑
Close