Written by • 9:00 pm• Semasa •

Zahid jadi PM Kerajaan BN PAS?

Adakah neraca maruah dan integriti negara ini sudah begitu runtuh sehingga kerusi nombor satu Malaysia kini mahu dihadiahkan kepada pemimpin yang rekod peribadinya masih sarat dengan bebanan mahkamah?

Ramalan penganalisis politik, Dr. Ong Kian Ming, bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpotensi diangkat sebagai Perdana Menteri ke-11 sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan PAS/PN memenangi PRU16 dengan sandaran sokongan blok Sabah dan Sarawak, wajar membunyikan semboyan bahaya kepada seluruh rakyat. UMNO nampaknya masih dibuai mimpi siang dan menganggap rakyat Malaysia menghidap amnesia tegar terhadap rentetan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Status Dilepas Tanpa Dibebaskan (DNAA) pada 2023 bukanlah sijil kesucian mutlak yang memadamkan persepsi integriti, sebaliknya ia kekal menjadi liabiliti terbesar yang cuba disorokkan oleh jentera propaganda BN di sebalik tirai kuasa.

Realitinya, episod gelap perundangan Presiden UMNO itu masih jauh daripada noktah apabila Mahkamah Rayuan pada 7 Mei 2026 telah membenarkan Majlis Peguam meneruskan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara menghentikan prosiding terbabit, malah kes dikembalikan untuk pendengaran substantif di Mahkamah Tinggi. Lebih panas, permohonan kebenaran merayu Zahid dan Peguam Negara di Mahkamah Persekutuan bakal didengar pada 8 Oktober 2026.

Fakta ini membuktikan bahawa isu kelayakan moral dan ketelusan Zahid masih tergantung di neraca keadilan, sekali gus membangkitkan tanda tanya: apakah standard kepimpinan negara serendah ini sehingga seorang figura yang prosiding kehakimannya belum selesai sudah ghairah dijaja sebagai nakhoda Putrajaya?

Kemunafikan ini menjadi lebih memualkan apabila melihat sandiwara pakatan politik yang cuba dijalin. Dulu ketika Zahid dilantik sebagai TPM dalam Kerajaan Perpaduan, PAS menyalakan lampu paling terang dan lantang mempertikai 47 pertuduhan berkenaan, tetapi apabila kerusi kuasa mula terhidang semula, jangan pula pembaris moral tiba-tiba dipendekkan dan lampu suluh sengaja dipadamkan demi kawan sekutu.

PRU16 tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi gelanggang pertandingan pekikan slogan Melayu-Islam, perpaduan, atau gelombang biru semata-mata, sedangkan realitinya ia adalah pakatan elit terdesak yang cuba memperdagangkan mandat rakyat demi kelangsungan kuasa kepimpinan UMNO.

Kerusi Perdana Menteri adalah amanah suci rakyat, bukannya hadiah percuma perkongsian kuasa mahupun perisai imuniti politik. Jika rekod dan prinsip diubah sesuka hati sebaik sahaja musuh menjadi kawan, beranikah UMNO dan sekutunya berdepan dengan neraca rakyat yang menolak kepimpinan penuh kompromi integriti?

↑
Close