George Lakoff pernah menggunakan satu arahan yang sangat mudah: “Don’t think of an elephant.” Apa yang berlaku? Kita terus terfikir tentang gajah. Itulah kuasa framing. Dalam politik, siapa yang berjaya menentukan apa yang rakyat fikirkan, apa yang rakyat takutkan dan siapa yang harus dipersalahkan, selalunya sudah memenangi separuh pertempuran.
Kita melihat teknik ini dalam politik MAGA di Amerika. Isu ekonomi, pekerjaan dan ketidaksamaan boleh dialihkan kepada pendatang, identiti, agama dan ancaman terhadap “cara hidup kita”. Dalam politik sayap kanan Israel juga, ketakutan dan keselamatan sering menjadi bingkai yang sangat kuat sehingga manusia di sebelah sana mudah dilihat sebagai satu ancaman kolektif.
Yang membimbangkan saya ialah PAS semakin menggunakan formula politik yang hampir sama di Malaysia.
Ironinya, mereka lantang mengecam Amerika dan Israel mengenai Palestin, tetapi dalam politik tempatan mereka sendiri menggunakan bahasa yang membahagikan manusia mengikut agama dan kaum. Muslim lawan bukan Muslim. Melayu terancam. Islam terancam. DAP menjadi bogeyman yang sentiasa boleh dikeluarkan apabila diperlukan.
Ini bukan politik biasa. Ini politik ketakutan.
Dan sejarah mengajar kita supaya jangan memandang ringan perkara seperti ini. Rwanda tidak berubah menjadi pembunuhan beramai ramai dalam satu malam. Begitu juga konflik dan kekejaman terhadap orang awam di Palestin tidak bermula pada satu tarikh sahaja. Dehumanisasi, ketakutan dan kebencian boleh dibina sedikit demi sedikit sehingga perkara yang dahulu tidak boleh diterima menjadi normal.
Sebab itu kerajaan tidak boleh sekadar shrug shoulders dan menganggap semuanya political rhetoric. Kita memerlukan garis yang jelas untuk semua parti, sama ada PAS, PN, BN, PH atau sesiapa sahaja: jangan jadikan kaum dan agama sebagai bahan bakar untuk mendapatkan kuasa.
Dan sekarang saya melihat sesuatu yang turut mengecewakan daripada Rafizi Ramli. Dalam satu video, beliau berhujah bahawa PAS dan DAP perlu sama sama “diturunkan” kerana kedua duanya saling mengagitasi.
Seriously?
Menyamakan kedua duanya tanpa meneliti siapa berkata apa, dalam konteks apa dan dengan kesan bagaimana bukanlah sophisticated political analysis. It is intellectually lazy framing.
Lebih membimbangkan apabila kita melihat strategi BERSAMA dalam PRN Johor dan bertanya mengapa kerusi yang mereka pilih kelihatan tertumpu kepada kawasan kuat DAP. Saya tidak tahu apa yang dibincangkan di belakang tabir, dan tanpa bukti saya tidak akan mendakwa ada agenda tersembunyi. Tetapi sebagai pengundi, kita berhak bertanya apakah calculation politik di sebaliknya.
Saya lebih kecewa kerana Rafizi selama ini membawa imej politik berasaskan idea, data dan fairness. Sebab itu standard terhadap beliau lebih tinggi.
Malaysia tidak perlukan satu lagi versi politik “kita lawan mereka.”
PAS melakukannya melalui agama dan kaum. MAGA menunjukkan betapa berkesannya politik ketakutan. Sejarah pula menunjukkan betapa bahayanya apabila masyarakat membiarkannya menjadi normal.
Jangan fikir tentang gajah.
Sudah terlambat. Gajah itu sudah berada di dalam bilik.