Kecoh di media sosial dan dada-dada akhbar apabila timbul isu kerugian Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, yang bakal diperjelaskan oleh Perdana Menteri di Dewan Negara. Macam biasa, pahlawan papan kekunci dan laskar pembangkang laju menuding jari menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX). Tapi sebelum nak berkokok lebih panjang, mari kita hadam fakta sebenar kes ini supaya tak nampak sangat dangkal bila berhujah.
Fakta Pertama: Pada Julai 2023, KWAP telah melaburkan US$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam pusingan pendanaan Series D syarikat eFishery. Siapa yang buat keputusan pelaburan ini? Keputusan ini dibuat oleh Panel Pelaburan KWAP. Untuk pengetahuan mereka yang malas mengkaji, pelaburan ini bukanlah atas arahan terus dari Kementerian Kewangan (MOF). Menteri sama sekali tidak campur tangan secara ‘deal-by-deal’ dalam urusan pelaburan dan tadbir urus harian agensi!
Fakta Kedua: Siapa yang luluskan pelaburan tersebut? Ia diluluskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWAP, Nik Amlizan Mohamed. Beliau telah memegang jawatan CEO dari tahun 2020 dan kontraknya berlanjutan sehingga 2026 nanti. Maknanya, sebelum Anwar angkat sumpah jadi Perdana Menteri lagi, beliau sudah pun bergelar CEO KWAP. Jadi, atas asas apa pembangkang nak kaitkan PMX sebagai dalang kelulusan ini?
Memang benar, pelaburan ini berdepan masalah besar kerana ia rupa-rupanya satu penipuan terancang (well-planned fraud). Pengasas eFishery kini telah pun dijatuhi hukuman 9 tahun penjara di atas pertuduhan pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram (AMLA).
Namun, lihat apa tindakan PMX. Pada 16 Julai 2026 yang lalu, PMX sendiri yang bangun mendedahkan skandal penipuan ini secara terbuka di Parlimen. Fikir pakai logik akal – kalau betullah PMX yang ‘bodo’ dan kena scam dalam kelulusan ini, takkanlah dia sendiri yang nak terhegeh-hegeh umumkan tembelang ini di Parlimen? Gila apa dia nak bagi ‘bola tanggung’ percuma kepada pembangkang untuk hentam kerajaan? PMX langsung tidak menyorokkan kebenaran, sebaliknya memilih jalan telus untuk rakyat tahu kedudukan sebenar dana negara.
Bukan sekadar mendedahkan hal ini, PMX telah memberikan lampu hijau sepenuhnya kepada KWAP untuk memulakan tindakan undang-undang sekeras-kerasnya. Arahan Perdana Menteri jelas: kutip balik dana tersebut, buat semakan dalaman (internal review) dengan segera, dan perketat semua mekanisme perlindungan (safeguards). Susulan penipuan yang terbongkar ini, konsortium pelabur yang turut melibatkan KWAP telah pun memfailkan saman bersama ke atas pihak terbabit.
Hasilnya? Sebahagian dana sudah pun berjaya dipulangkan dan bakinya sedang dituntut habis-habisan.
Kesimpulannya, dalam kes ini duit yang ditipu itu sedang giat dituntut semula melalui proses mahkamah, bukannya lesap tanpa dikesan. Sebab itulah PMX berani bersemuka dan mendedahkannya di Parlimen, bukan sapu bawah karpet.
Jadi, kepada pihak yang sedang sedap menjaja fitnah tu: Kalau hang ada bukti kukuh PMX terlibat luluskan pelaburan ini masa tahun 2023, bawa keluar tunjuk sekarang! Lepas tu baru boleh sembang kata PM yang kena scam. Ada faham?
Surat Pembaca Oleh: Mirza Mohd
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Mirza Mohd. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.