Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan beberapa prinsip utama telah dipersetujui semua pihak yang terlibat dalam projek penempatan dan pembangunan semula rumah panjang di Bukit Kiara.
Menurut beliau antara syarat utama yang dipersetujui ialah penduduk rumah panjang akan menerima kediaman gantian seperti dijanjikan sebelum manakala, pembangunan di kawasan tersebut akan dihadkan kepada hanya 2.33 hektar.
“Baki tanah selebihnya akan dikembalikan kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan kediaman gantian akan disiapkan terlebih dahulu sebelum penduduk dipindahkan. Langkah itu membolehkan penduduk terus berpindah ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara.
“Rumah panjang sedia ada hanya akan dirobohkan selepas proses pemindahan selesai bagi memberi laluan kepada pembangunan seterusnya,” katanya lagi.
Pada masa sama, Hannah berkata tapak kuil sedia ada akan dikekalkan dan diiktiraf secara rasmi sebagai rumah ibadat bukan Islam. Kerajaan turut memperuntukkan RM100,000 bagi tujuan penyelenggaraan dan pemeliharaan tapak tersebut.
Beliau turut memaklumkan kapasiti parkir di Taman Rimba Kiara akan ditingkatkan daripada 80 petak kepada 150 petak di bawah pelaksanaan projek berkenaan.
Menyentuh mengenai perjanjian asal dengan pemaju, Hannah menjelaskan satu unit kediaman diberikan secara percuma kepada penduduk, manakala unit kedua pada asalnya ditawarkan kepada 98 keluarga dengan harga RM175,000 seunit.
Bagaimanapun, selepas mengambil kira tempoh panjang proses perundangan yang berlaku serta kedudukan penduduk yang majoritinya dalam kategori B40, kerajaan bersetuju untuk memberikan unit kedua tersebut secara percuma selepas rundingan dengan semua pihak berkepentingan.
“Ini bermakna setiap keluarga yang terlibat akan menerima dua unit kediaman tanpa sebarang kos,” katanya.
Projek yang melibatkan 98 keluarga itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.
Bagi membantu penduduk menyesuaikan diri dengan kehidupan di kediaman baharu, Hannah berkata kerajaan akan menyalurkan geran sebanyak RM1 juta melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tempoh tiga tahun untuk menampung sebahagian kos penyelenggaraan.
Menurut beliau, bantuan tersebut bertujuan mengurangkan beban kewangan penduduk sepanjang tempoh peralihan.
Hannah turut mengingatkan bahawa pertikaian berkaitan pembangunan di kawasan Taman Rimba Kiara telah berlarutan lebih 44 tahun, berpunca daripada pengasingan sebahagian tanah kawasan itu untuk tujuan pembangunan yang kemudiannya mencetuskan pelbagai pertikaian undang-undang dan dasar.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan bagi melindungi serta mewartakan kawasan hijau di ibu negara.
“Langkah ini penting bagi memastikan isu yang melibatkan taman awam dan pembangunan tidak berulang pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam memelihara ruang hijau bandar untuk manfaat rakyat,” katanya.