Usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia bukan sahaja bergantung kepada pembangunan fizikal dan dasar ekonomi.
Perkara itu sebaliknya, perlu diperkukuhkan dengan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan bagi memastikan keyakinan pelabur terus kekal utuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, keyakinan pelabur kini lebih tertumpu kepada tatakelola serta pentadbiran sesebuah bandar termasuk tahap ketelusan dalam proses membuat keputusan, kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan komitmen kerajaan dalam mengekalkan tadbir urus yang baik.
“Kita mahu membina bandar yang bukan sahaja moden dan berdaya saing tetapi juga dipercayai. Pelabur hari ini semakin menitikberatkan aspek tadbir urus, kestabilan dan integriti dalam menentukan destinasi pelaburan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Hannah Yeoh sebelum itu telah menghadiri sesi fireside chat bersama penyampai radio BFM, Lee Chwi Lynn sempena Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur Ke-22 yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia dengan kerjasama CIMB dan Maybank.
Menurut Hannah, sesi tersebut memberi peluang untuk beliau berkongsi perancangan dan visi kerajaan dalam membangunkan bandar serta komuniti yang mampan, sejajar dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelaburan kompetitif di rantau ini.
Seramai 1,500 peserta yang menghadiri persidangan berkenaan mewakili nilai pelaburan keseluruhan melebihi RM44 trilion, sekali gus menggambarkan kepentingan acara tersebut sebagai platform strategik yang menghimpunkan pemain industri, pelabur dan pembuat dasar dari dalam serta luar negara.
Pada masa sama, Hannah turut berpandangan pembangunan bandar mampan memerlukan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Jelasnya, Kuala Lumpur mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai pusat ekonomi dan pelaburan serantau sekiranya prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan terus dijadikan asas dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar.
“Apabila sebuah bandar ditadbir dengan baik, pelabur akan lebih yakin untuk membawa modal, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya lagi.
Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur Ke-22 merupakan antara platform utama yang menghimpunkan komuniti pelaburan bagi membincangkan hala tuju ekonomi, peluang pelaburan serta strategi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.