JS-SEZ kini dijual sebagai projek yang bakal mengubah masa depan Johor.
Pelaburan masuk berbilion ringgit. Dijanjikan peluang pekerjaan yang banyak. Pendek kata, semua benda hebat ada.
Tetapi banyak persoalan yang masih tidak dijawab. Sebab rakyat tidak bangun pagi sambil memikirkan berapa bilion pelaburan yang masuk semalam.
Rakyat bangun pagi memikirkan gaji mereka. Harga rumah mereka. Kos sara hidup mereka. Peluang pekerjaan mereka. Setakat ini banyak perkara itu masih belum berubah.
Yang menariknya, setiap kali isu ini dibangkitkan, kita akan kembali kepada angka pelaburan. Seolah-olah pelaburan itu sendiri sudah menjadi bukti kejayaan.
Kalau berbilion ringgit masuk tetapi rakyat masih bergelut dengan masalah yang sama, apa sebenarnya yang sedang diraikan? Harga rumah masih menjadi kebimbangan utama ramai keluarga muda di Johor. Jalan raya masih sesak tanpa solusi. Kos sara hidup masih tinggi.
Lebih menarik, Johor hari ini seolah-olah mempunyai dua wajah. Wajah pertama ialah Johor yang dijual kepada pelabur. AI, data centre dan teknologi.
Wajah kedua ialah Johor yang dijual kepada rakyat. Bantuan tunai yang rakyat kena beratur, baucar dan insentif one off.
Jika ekonomi masa depan yang begitu hebat sedang dibina, mengapa kebergantungan kepada bantuan jangka pendek masih begitu tinggi?
Kalau kerajaan negeri bijak dan betul serius mahu selesaikan masalah rakyat, patut tumpu usaha jangka masa panjang. Tumpu tingkatkan gaji. Tumpu naik taraf infra. Tumpu usaha untuk tingkatkan pendidikan. Tidak cukup sekadar bangga tentang 4 buah sekolah rintis Bangsa Johor.
Ini bukan soal bantuan itu salah. Ini soal percanggahan naratif.
Setiap kali bercakap tentang Johor, kita bercakap seolah-olah Johor itu hanya sekadar Johor Bahru.
Bagaimana dengan Batu Pahat, Muar, Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Tangkak, Pontian dan lain-lain daerah? Jika kerajaan negeri benar-benar cekap, rakyat di daerah ini tidak sepatutnya hanya membaca berita tentang pembangunan. Mereka patut merasainya.
Hari ini ramai pemimpin dinilai bukan berdasarkan hasil. Mereka dinilai berdasarkan kandungan media sosial.
Video marah kontraktor, video terjah sana sini, video lawatan mengejut, video itu dan ini. Henti normalisasikan budaya sanjung video tiktok sebagai definisi ‘buat kerja’.
Sejarah tidak pernah mengukur kejayaan pemimpin berdasarkan jumlah video yang viral. Sejarah mengukur sama ada rakyat akhirnya hidup lebih baik atau tidak. Rekod perlu menunjukkan kerajaan negeri benar bentuk polisi yang boleh bantu rakyat. Dan dalam hal ini, ia tidak berlaku.
Nota kaki : JS-SEZ yang kita bincang hari ini mula diumumkan secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.
Surat Pembaca Oleh: Azan Asyraf
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Azan Asyraf. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.