Written by 9:17 pm Semasa

Mulai 1 Jun 2026, Ini 10 Perubahan Penting Di Malaysia

Bermula 1 Jun 2026, beberapa dasar, skim bantuan dan peraturan baharu mula dilaksanakan kerajaan yang bakal memberi kesan langsung kepada rakyat, usahawan, pekerja serta sektor pengangkutan di seluruh negara.

1. Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026
Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 membawa pembaharuan terbesar dalam industri pembiayaan kenderaan Malaysia bertujuan meningkatkan ketelusan dan mengelakkan pengguna daripada membayar faedah berlebihan. Akta pindaan ini memperkenalkan kaedah pengiraan pinjaman lebih telus menerusi sistem Reducing Balance, dan menghapuskan amalan yang sering menyebabkan pengguna menanggung caj faedah lebih tinggi, iaitu Rule of 78.

2. Skim Lindung 24 Jam PERKESO Dilaksanakan
Dalam aspek perlindungan sosial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam). Skim ini melindungi pekerja sepanjang masa, termasuk di luar waktu bekerja dan semasa cuti dan bagi kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan. Semua pekerja wajib carum dan caruman ditanggung oleh pekerja sepenuhnya.

3. Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) Diperkukuh
Dua kod baharu di bawah ONSA diperkenalkan bagi memperkukuh keselamatan kanak-kanak dan pengguna rentan dalam talian. Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) turut menetapkan tanggungjawab lebih tegas kepada platform digital dalam menangani kandungan memudaratkan serta memperkukuh mekanisme perlindungan pengguna.

4. Gaji Minimum Employment Pass Naik
Gaji minimum untuk Employment Pass (EP) di Malaysia telah dikemas kini seperti berikut
Kategori I: Gaji asas RM20,000 dan ke atas sebulan (tempoh permit sehingga 10 tahun)
Kategori II: Gaji asas antara RM10,000 hingga RM19,999 sebulan (tempoh permit sehingga 2 tahun)
Perubahan ini terpakai untuk semua permohonan baharu dan pembaharuan yang dikemukakan mulai 1 Jun 2026

5. SPPP (Daftar SSM Percuma) Dipanjangkan
Antara yang paling mendapat perhatian ialah lanjutan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), yang kini menawarkan pengecualian fi pendaftaran perniagaan (sehingga RM120) untuk tempoh 2 tahun (berbanding 1 tahun sebelum ini).

    Skim ini layak dimohon oleh usahawan B40 dan pelajar sepenuh masa di IPT, politeknik, kolej, serta institut/pusat kemahiran.pendaftaran perniagaan percuma sehingga dua tahun kepada golongan B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi.

    6. Pelaksanaan MyKad Versi Baharu
    Kerajaan akan memperkenalkan MyKad versi baharu dengan 53 ciri keselamatan yang dinaik taraf (termasuk kod QR). Anda tidak perlu berpusu-pusu ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kad lama masih sah digunakan. Pertukaran adalah tidak wajib dan boleh dibuat mengikut keselesaan atau keperluan anda.

    7. Tawaran Rebat Solar
    Kerajaan Malaysia menawarkan rebat tunai sehingga RM3,000 di bawah program SuRIA Home (Sustainable Rebate and Incentive Assistance) bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2026 untuk pemasangan solar bumbung kediaman.

    8. Perlaksanaan Biodiesel B15
    Pelaksanaan adunan biodiesel B15 adalah langkah strategik memperkukuh keselamatan tenaga negara tanpa menjejaskan eksport minyak sawit berkenaan. B15 mengurangkan kebergantungan kepada diesel fosil import dan menggalakkan penggunaan tenaga alternatif yang lebih mampan.

    9. Perluasan & Penetapan Kuota Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)
    Penetapan kuota Fleet Cards SKDS antara 900 liter – 5,000 liter dilaksanakan bagi sektor pengangkutan darat barangan tertakluk kepada 23 kategori kenderaan. Langkah ini sangat penting demi memastikan subsidi diesel bersasar disalurkan kepada pihak yang benar-benar layak dengan lebih efisien. Kerajaan turut memperluas kelayakan SKDS kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara.

    10. Pindaan Perlembagaan Berkenaan Kewarganegaraan
    Pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan yang membenarkan pemberian taraf kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia. Pendaftaran kelahiran perlu dibuat melalui kaedah yang ditetapkan di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

      Pelaksanaan pelbagai inisiatif dan pembaharuan ini dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan ketelusan sistem kewangan, mempercepat transformasi digital serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

      Close