CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan bahawa ia menyekat laporan portal berita Malaysia Gazette berkaitan kes mahkamah melibatkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan dakwaan yang dibuat oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris itu adalah tidak benar dan palsu.
Menurutnya, suruhanjaya itu tidak terlibat dalam kes berkenaan serta tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan atau arahan kepada mana-mana media atau platform untuk menyekat kandungan tersebut.
Sehubungan itu, MCMC memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Azri berhubung dakwaan berkenaan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital yang boleh mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.