Written by 9:12 pm Semasa • 7 Comments

Papagomo Akui Dakwaan Tidak Berasas, Fitnah Kepada Fahmi Satu Kesilapan

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menarik balik tuntutan saman fitnah terhadap Wan Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo.

Tindakan itu diambil susulan pengakuan oleh Papagomo dan Mohd Fauzan Madzlan bahawa ucapan beliau di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang bukanlah sebuah kempen politik.

“Selepas pengakuan dibuat di mahkamah, pihak plaintif bersetuju untuk tidak meneruskan tindakan terhadap kedua-dua defendan,” kata Fahri Azzat, peguam Fahmi, kepada media.

Penyelesaian itu direkodkan menerusi penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, prosiding saman terhadap defendan ketiga, pendakwah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani, akan diteruskan dengan perbicaraan dijadual bermula esok.

Terdahulu, Fahmi memfailkan tuntutan saman fitnah secara berasingan terhadap tiga individu iaitu pengendali dan pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’ iaitu Mohd Fauzan Madzlan, Papagomo dan Ahmad Duzuki Abdul Rani susulan hantaran di media sosial berhubung ucapannya di masjid tersebut.

Menurut pernyataan tuntutan, beliau mendakwa ketiga-tiga individu tersebut telah menerbitkan kenyataan berunsur fitnah dengan menuduh beliau menyalahgunakan masjid untuk tujuan kempen pilihan raya serta bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

“Tuduhan yang dibuat sebelum ini memang tidak wajar dilakukan kerana ia berbentuk fitnah,” jelasnya sambil memberi penghargaan kepada pasukan guaman yang mewakilinya.

Fahmi walau bagaimanapun menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan berkenaan.

Close