Written by 7:23 pm Semasa

Siapa Sebenarnya Mensasarkan Ramanan?

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, satu lagi individu tampil sebagai ‘whistleblower’ dengan dakwaan yang menggemparkan.

Namanya Victor Chin.

Naratif yang dibawa bukanlah sesuatu yang baharu dalam landskap politik tempatan. Dakwaan rasuah melibatkan angka besar, watak tanpa identiti jelas, dan ancaman pendedahan jika tuntutan tidak dipenuhi.

Chin mendakwa seorang ahli parlimen PKR, yang hanya dirujuk sebagai “Mr R”, meminta bayaran RM10 juta bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Menurutnya, sebanyak RM9.5 juta telah dibayar sebelum 18 Oktober tahun lalu.

Beliau kemudian memberi kata dua, samada wang tersebut perlu dipulangkan sebelum 30 Mac, atau identiti individu berkenaan akan didedahkan.

Namun, persoalan utama kekal. Mengapa tiada butiran konkrit dikemukakan setakat ini?

Tiada nama disebut. Tiada bukti didedahkan kepada umum. Sebaliknya, dakwaan dibuat secara umum, tetapi dengan jumlah yang sangat spesifik.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan tampil menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan.

Beliau menjawab persoalan media dengan hujah yang mudah, “Bagaimana saya boleh menerima RM9.5 juta daripada seseorang yang saya tidak pernah jumpa, tidak kenal, dan tidak pernah berurusan?”

Penafian itu dibuat susulan laporan yang mengaitkan beliau sebagai individu yang dimaksudkan, iaitu “Mr R”.

Ramanan turut mendakwa bahawa tuduhan tersebut bukan sekadar kebetulan.

Beliau menuduh bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, sebagai dalang di sebalik penyebaran dakwaan tersebut melalui penggunaan cybertrooper.

Menurutnya, tindakan itu adalah sebahagian daripada agenda untuk memecah-belahkan parti.

Rafizi setakat ini belum memberikan maklum balas terhadap dakwaan tersebut. Pada masa sama, perkembangan politik lain turut menimbulkan tanda tanya.

Timbalan presiden MIC, M. Saravanan, dilaporkan membuat pusingan U berhubung pendirian parti itu untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Perikatan Nasional.

Saravanan sebelum ini dilihat sebagai antara tokoh yang berpotensi mencabar kedudukan Ramanan sebagai satu-satunya menteri Tamil dalam kabinet.

Kebetulan atau berkait?

Dalam landskap politik Malaysia, garis pemisah antara persepsi dan realiti sering kali kabur. Apa yang jelas, dakwaan tanpa bukti yang kukuh bukan sahaja menimbulkan persoalan, malah berpotensi menghakis kepercayaan awam terhadap institusi dan individu yang terlibat.

Sehingga kini, kebenaran di sebalik dakwaan tersebut masih belum dapat dipastikan. Namun satu perkara pasti; pertarungan naratif sudah pun bermula.

Close