Perikatan Nasional hari ini masih gagal memberikan jawapan yang jelas kepada satu persoalan asas yang semakin dipersoalkan rakyat: siapa sebenarnya yang menentukan hala tuju gabungan tersebut?
Hari ini Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal Ketua Pembangkang di Parlimen. Dalam masa yang sama Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional daripada PAS. Pada masa yang sama juga Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden Bersatu dan masih dilihat sebagai tokoh utama gabungan tersebut.
Keadaan ini menimbulkan kekeliruan yang nyata. Gabungan yang bercita-cita mentadbir negara tidak boleh mempunyai kepimpinan yang kabur sehingga rakyat sendiri tidak pasti siapa yang membuat keputusan dan siapa yang bertanggungjawab.
Persoalan yang wajar dijawab oleh Perikatan Nasional hari ini sangat mudah: siapa sebenarnya yang menentukan hala tuju gabungan ini?
Adakah arah PN ditentukan oleh Ketua Pembangkang di Parlimen?
Adakah ia dipimpin oleh Pengerusi gabungan daripada PAS?
Atau adakah keputusan sebenar masih ditentukan oleh kepimpinan Bersatu?
PN perlu menjelaskan perkara ini secara terbuka jika mereka benar-benar mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia untuk mentadbir negara.
Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN juga menimbulkan persoalan yang belum dijawab dengan jelas. Beliau sering dilihat sebagai pemimpin yang sederhana dan profesional, namun rakyat berhak mengetahui sama ada beliau benar-benar memimpin Perikatan Nasional atau sekadar menjadi wajah sederhana kepada kuasa sebenar PAS.
Apakah peranan sebenar Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam menentukan hala tuju PN hari ini? Jika keputusan sebenar dibuat di tempat lain dan oleh individu lain di luar struktur rasmi, maka rakyat berhak mengetahui siapa sebenarnya yang memegang kuasa dalam gabungan tersebut.
Dalam masa yang sama PN juga dilihat semakin tidak jelas dari segi pendirian dasar, khususnya dalam isu ekonomi yang menjadi kebimbangan utama rakyat.
Dalam banyak isu berkaitan kos sara hidup dan harga barang, pemimpin PN tampil mempertikaikan langkah kerajaan, tetapi rakyat masih belum melihat cadangan dasar yang lengkap daripada pihak mereka sendiri.
PN sering mengkritik langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup, namun masih belum jelas apakah pendekatan ekonomi menyeluruh yang akan mereka laksanakan bagi mengawal harga dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Begitu juga dalam isu fiskal dan pengurusan kewangan negara. PN kerap menuduh dasar kerajaan membebankan rakyat, tetapi sehingga hari ini masih tidak jelas apakah model pengurusan kewangan negara yang akan mereka laksanakan sebagai alternatif.
Malaysia memerlukan pembangkang yang mampu menawarkan dasar yang jelas dan kepimpinan yang meyakinkan.
Tetapi setakat ini PN lebih dikenali kerana mempertikaikan hampir setiap dasar kerajaan tanpa menjelaskan apakah arah dan dasar mereka sendiri.
Rakyat berhak mendapat pembangkang yang serius tentang ekonomi, bukan pembangkang yang sibuk bergaduh tentang kuasa dan jawatan.
SUHAIZAN KAIAT
Ahli Parlimen Pulai