Written by 4:23 pm Semasa • One Comment

MCMC Gugurkan Kes Di Thailand Selepas Murray Hunter Tunduk Mohon Maaf

PETALING JAYA – Selepas berbulan-bulan lantang menuduh dan melemparkan dakwaan berat, pengulas politik Murray Hunter akhirnya terpaksa berundur setapak. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan kes fitnah jenayah yang difailkan di Thailand terhadap warga Australia itu ditarik balik susulan permohonan maaf terbuka serta penarikan semula empat artikel yang disifatkan mengelirukan dan tidak tepat.

Empat penerbitan tersebut ditulis ketika Hunter menetap di Thailand. Kandungannya, menurut MCMC, mengandungi dakwaan serius tanpa asas yang berpotensi merosakkan reputasi suruhanjaya serta menghakis keyakinan awam terhadap fungsi statutori yang dijalankan.

Kes di Thailand itu bukan “ugutan politik” seperti sering dimainkan dalam naratif simpati tertentu, sebaliknya dimulakan oleh pihak berkuasa Thailand mengikut undang-undang negara berkenaan. Selepas beberapa sesi mediasi di Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan, satu perjanjian penyelesaian dicapai. MCMC kemudian memaklumkan mahkamah untuk menarik balik laporan yang dibuat sebelum ini.

Ini bukan satu-satunya tindakan undang-undang yang berakhir dengan pengunduran Hunter. Di Malaysia, saman fitnah sivil melibatkan 13 artikel lain turut diselesaikan melalui perintah persetujuan bertarikh 4 Februari. Kedua-dua kes kini dianggap selesai, tertakluk kepada pematuhan penuh terhadap syarat yang dipersetujui.

Sebelum ini, Hunter yang kini menetap di Thailand, dikenali kerana tulisan-tulisan kerasnya mengenai politik Malaysia. Namun dalam kes ini, retorik yang dilontarkan dari luar negara akhirnya perlu disokong dengan bukti – dan apabila tidak mampu dipertahankan, ia berakhir dengan penarikan balik dan permohonan maaf rasmi.

Close