Written by 10:18 am Semasa

Satu Tahun Selepas Pendedahan: Bersatu Kini Bersepai

Pada 13 Februari tahun lalu, kami melaporkan tentang pertembungan dalaman dalam Bersatu antara kem Muhyiddin dan kem Hamzah. Ramai yang menafikan. Ramai yang kata ini sekadar gosip politik.

Hari ini, pada tarikh yang sama setahun kemudian, parti itu bukan lagi sekadar berpecah. Ia sedang meletup dari dalam.

Kem Muhyiddin–Azmin kini dilihat bertindak agresif terhadap ahli sendiri. Bukan sahaja tekanan terhadap Hamzah Zainuddin semakin terbuka, malah tindakan pemecatan terhadap Ahli Parlimen parti sendiri berlaku berturut-turut.

Tiga lagi Ahli Parlimen – Wan Ahmad Fayhsal (Machang), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Azahari Hassan (Padang Rengas) – dipecat selepas gelombang dalaman semakin sukar dikawal.

Semua ini berlaku selepas 16 Ahli Parlimen Bersatu menyokong gesaan Naib Presiden parti, Ronald Kiandee agar Muhyiddin berundur dan memberi laluan kepada Hamzah.

Sebelum ini, Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) turut dipecat masing-masing pada Oktober dan Januari.

Senarai tidak berhenti di situ.

Pada 2024, enam Ahli Parlimen Bersatu bertindak menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Mereka ialah Syed Abu Hussain Hafiz (Bukit Gantang), Zulkaperi Hanafi (Tanjong Karang), Zahari Ketchikan (Jeli), Iskandar Dzulkarnain (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Di Perlis pula, Bersatu dilihat menggoncang kerajaan negeri yang diterajui PAS, mencetuskan ketegangan serius dalam komponen Perikatan Nasional.

Persoalan besar kini timbul.

Berapa ramai lagi Ahli Parlimen yang akan tinggal bersama Muhyiddin dan Azmin menjelang pilihan raya umum akan datang? Adakah PAS akan terus bersabar, atau mengambil alih sepenuhnya kepimpinan Perikatan Nasional?

Dan bagaimana pula dengan parti-parti kecil seperti MIC, MCA, Gerakan, MIPP dan Urimai yang meletakkan harapan kepada janji-janji lama Muhyiddin?

Realitinya semakin jelas.

Bersatu sedang kehilangan kawalan terhadap dirinya sendiri. Perikatan Nasional pula kelihatan semakin rapuh tanpa kepimpinan yang disepakati.

Apa yang berlaku hari ini bukan kejutan. Ia adalah kesinambungan daripada retakan yang sudah kelihatan sejak setahun lalu.

Kami sudah sebut dahulu.

Kini ia berlaku di depan mata.

Oleh: Jeffri Saling

Close