SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengaktifkan mekanisme keselamatan negeri susulan insiden melibatkan rumah ibadat yang mencetuskan keresahan awam, termasuk kejadian di Rawang yang kini dalam siasatan polis.
Menteri Besar Selangor mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua Majlis serta Pegawai-Pegawai Daerah bagi menilai tahap keselamatan dan langkah pencegahan segera.
Menurut kerajaan negeri, dua kategori utama dikenal pasti dalam isu rumah ibadat tidak sah.
Pertama, rumah ibadat yang dibina atau beroperasi di atas tanah milik Kerajaan Negeri. Kedua, rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik persendirian tanpa kelulusan atau kebenaran pemilik.
Bagi rumah ibadat di atas tanah kerajaan, prosedur sedia ada akan diperkemaskan termasuk pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa LIMAS serta tindakan lebih tersusun di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.
Namun bagi kes melibatkan tanah persendirian, kerajaan menegaskan bahawa pemilik tanah tidak boleh mengambil tindakan sendiri. Sebarang pengosongan atau perobohan mesti melalui perintah mahkamah selaras dengan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkaitan.
Bagi mengelakkan ketegangan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama, MKN Negeri Selangor menetapkan satu prosedur yang wajib dipatuhi:
Pemilik tanah yang mendapati pencerobohan perlu membuat laporan polis terlebih dahulu bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan pendakwaan dimulakan sekiranya terdapat kesalahan.
Seterusnya, notis rasmi perlu dihantar kepada pihak yang menduduki tapak tersebut dan dimaklumkan kepada Pejabat Daerah.
Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang kini diaktifkan di semua daerah akan bertindak sebagai pengantara, mempertemukan pemilik tanah, pengurusan rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian yang munasabah.
Jika rundingan gagal, JKD akan menasihatkan pemilik tanah untuk meneruskan tindakan melalui mahkamah.
Kerajaan Negeri menegaskan bahawa pendekatan ini bertujuan memastikan setiap kes ditangani melalui saluran sah dan terkawal, serta mengelakkan sebarang tindakan spontan yang boleh mencetuskan provokasi atau rusuhan.
Dalam konteks semasa, mesej kerajaan jelas: isu sensitif melibatkan rumah ibadat tidak boleh diselesaikan melalui emosi atau tekanan awam. Ia mesti melalui proses undang-undang dan pengurusan keselamatan yang teratur.