Written by 5:59 pm Semasa

Menjawab Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil dengan satu kenyataan penuh retorik – menyamakan peluasan cukai SST sebagai tindakan “mencekik darah rakyat”, menyindir kerajaan Madani sebagai “lintah” dan mempersoalkan ke mana hasil RM10 bilion akan dibelanjakan.

Tapi seperti biasa, kenyataan beliau mengelak daripada satu perkara paling penting: fakta.

1. SST BUKAN cukai baharu, ia cuma diperluas secara bersasar

SST (Sales and Services Tax) bukan ciptaan kerajaan Madani. Ia adalah sistem yang diperkenalkan sejak zaman Barisan Nasional sendiri selepas GST dimansuhkan pada 2018.

Peluasan semasa ini bukan bermakna semua barang dikenakan cukai. Sebaliknya, ia menambah hasil negara dengan mengurangkan ketirisan dan mengemaskini senarai barang supaya lebih sejajar dengan realiti pasaran semasa.

Contoh: Cukai perkhidmatan diperluas kepada beberapa sektor digital dan profesional yang sebelum ini tidak dikenakan sebarang cukai, walaupun menjana keuntungan tinggi.

2. Barangan keperluan asas TIDAK dikenakan cukai SST

Antara barangan yang KEKAL bebas SST:

  • Beras, gula, garam, minyak masak biasa
  • Sayur-sayuran tempatan
  • Ikan segar
  • Buah-buahan tempatan
  • Produk tenusu asas
  • Roti putih

Apa yang mungkin dikenakan cukai ialah buah-buahan import tertentu atau produk berproses tinggi. Tetapi Tan Sri Muhyiddin memilih untuk menyamaratakan semuanya, seolah-olah kerajaan cukai pisang kampung.

3. RM10 bilion bukan hasil main-main, ia untuk rakyat juga

Hasil SST bukan dikutip untuk disimpan dalam poket Menteri.

Ia digunakan untuk:

  • Menampung subsidi bersasar
  • Menambah baik hospital dan sekolah
  • Menyalurkan bantuan STR dan SARA kepada rakyat
  • Membiayai pengangkutan awam murah seperti My50

Muhyiddin seolah lupa, sewaktu beliau jadi Perdana Menteri, beliau sendiri meluluskan lebih RM600 bilion pakej bantuan. Dari mana datangnya wang itu kalau bukan hasil negara?

4. Kesan inflasi dikawal dengan pelaksanaan subsidi bersasar

Kerajaan sedar akan risiko beban berganda. Sebab itu kerajaan TIDAK laksanakan semua langkah serentak.

Subsidi diesel hanya ditarik daripada pengguna korporat dan individu yang tidak layak bukannya semua rakyat. RON95 pula masih belum disentuh. Bahkan STR dinaikkan, SARA dilanjutkan dan e-wallet RM100 diagihkan.

Ini bukti kerajaan bukan kejam, tapi realistik. Subsidi tak boleh diberi selama-lamanya tanpa mengikut kelayakan.

5. Cadangan GST oleh Muhyiddin bukti hipokrasi

Muhyiddin menggesa GST diperkenalkan semula, kononnya “dengan kadar munasabah”. Tapi bila kerajaan perluas SST – satu sistem yang lebih ringan beban pada pengguna biasa – beliau pula serang habis-habisan.

Apa sebenarnya yang beliau mahu? Kutip cukai atau tidak?

Jika GST dikembalikan, semua barang dan perkhidmatan termasuk beras dan sayur akan dikenakan cukai – itulah sistem cukai menyeluruh.

Ironinya, GST diperkenalkan di bawah kerajaan beliau sendiri dulu.

Reformasi fiskal perlu berani dan telus

Malaysia bukan satu-satunya negara yang reformasi sistem subsidi dan cukainya. Indonesia, Thailand dan Filipina telah bergerak lebih awal. Sekiranya Malaysia mahu kekal kompetitif, kita perlu dasar fiskal yang mampan, bukannya populisme jangka pendek.

Kerajaan Madani sedang buat perkara yang tidak popular tapi perlu – sesuatu yang kerajaan lalu tak berani buat.

Dan ya, ia mungkin tak selesa. Tapi inilah tanda kerajaan berani ubah struktur, bukan sekadar tabur bantuan waktu krisis dan hilang bila rakyat susah.

Kalau Tan Sri Muhyiddin benar-benar mahu bela rakyat, bantulah beri penyelesaian sebenar, bukan hanya menyerang dengan bahasa sensasi dan cerita tanpa angka.

Close